Polis Melaka tidak bercadang periksa kasut pada sambutan Aidilfitri
MELAKA - Polis Melaka tidak memeriksa kasut dari rumah ke rumah, sebaliknya menggunakan pendekatan memantau kemasukan kenderaan di pintu sempadan negeri dan plaza tol bagi mengesan individu yang merentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut 1 Syawal.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, polis akan memastikan kemasukan kenderaan tidak melebihi 70,000 setiap hari.
Menurutnya, sekiranya berlaku peningkatan jumlah kenderaan yang luar biasa, pasukan pemantauan akan mengesan mereka yang dipercayai melakukan aktiviti merentas negeri tanpa kebenaran.
"Kita mengambil serius aktiviti rentas negeri tanpa kelulusan termasuk menggunakan laluan tikus untuk masuk dan keluar dari negeri ini sempena hari raya.
"Jangan ambil risiko, sekiranya berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kita tidak akan berkompromi untuk kepentingan awam," katanya
Beliau berkata demikian ketika program Singgah Sahur bersama Pengamal Media Melaka (Pendika) yang disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad di Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Ayer Keroh di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negeri, Asisten Komisioner Razali Abu Samah dan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Arshad Abu.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, tindakan itu bertujuan mengelakkan peningkatan kes Covid-19.
Tambahnya, pemantauan maksimum akan dilakukan termasuk di laluan tikus sempadan negeri di daerah Alor Gajah dan Jasin.
"Kita juga menggalakkan setiap rumah menyediakan kod QR MySejahtera atau buku catatan pengunjung sepanjang dan cecair pembasmi kuman sepanjang tempoh ziarah Aidilfitri bermula 1 Syawal," katanya.
Sebanyak 100 pek makanan dengan kerjasama Bintang Katering diedarkan di di tiga SJR negeri ini termasuk SJR di Tol Simpang Ampat Alor Gajah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!