Cedera diserang rakan dengan kapak

Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim
Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim
A
A
A

PENAMPANG - Seorang wanita cedera di kepala selepas diserang menggunakan kapak oleh rakan serumahnya dalam kejadian di sebuah taman perumahan di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun dibawa ke Hospital Hospital Queen Elizabeth 1 (HQEI) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, kejadian itu membabitkan mangsa dengan seorang lagi wanita yang juga suspek berusia 33 tahun.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa dan suspek tinggal bersama di rumah milik seorang wanita berusia 40 tahun.

"Ketika kejadian berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa dan suspek kemudian menyerang mangsa menggunakan senjata dipercayai sebilah kapak sehingga terkena bahagian kepala," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Katanya lagi, mangsa kemudian menghubungi pemilik rumah berkenaan dan memaklumkan mengenai kejadian itu sebelum membuat laporan polis.

"Hasil siasatan mendapati, suspek dikatakan tidak berpuas hati kerana pemilik rumah membenarkan mangsa tinggal serumah dengannya.

"Bertindak atas maklumat, suspek ditahan di lokasi berhampiran tempat kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa kini masih menerima rawatan di hospital dan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!