FAMA: Barang keperluan cukup, usah buat pembelian panik

Isa (kiri) mengiringi Awang (dua kiri) melawat premis pada Program Jualan Pra-Syawal di PTK Guar Chempedak di Yan pada Sabtu.
Isa (kiri) mengiringi Awang (dua kiri) melawat premis pada Program Jualan Pra-Syawal di PTK Guar Chempedak di Yan pada Sabtu.
A
A
A

YAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menasihatkan orang ramai tidak melakukan pembelian panik bagi persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana bekalan keperluan mencukupi.

Pengarah FAMA Kedah, Isa Hamzah berkata, orang ramai boleh membeli keperluan seperti ayam, daging, santan, sayur-sayuran dan banyak lagi di empat Pasar Tani Kekal (PTK) dan 15 Pasar Tani di seluruh negeri ini.

Menurutnya, kesemua barang keperluan tersebut dijual pada harga yang tidak melebihi harga siling ditetapkan oleh kerajaan.

"Kami mahu menasihatkan pengguna agar tidak membuat pembelian di saat-saat terakhir kerana perlu untuk mengelak penularan pandemik Covid-19 menjelang Aidilfitrio nanti," katanya ditemui selepas Program Jualan Pra-Syawal PTK Guar Chempedak, di pada Sabtu.

Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dan hadir sama Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit.

Isa berkata, pihaknya menawarkan harga yang berpatutan di 185 premis yang disediakan membabitkan penyertaan seramai 1,024 peserta.

"Bagi harga ayam di negeri ini, kita boleh dapat dengan harga yang lebih murah berbanding harga ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) iaitu RM7.90 sekilogram (kg) kerana terdapat sebuah syarikat yang menjadi antara pengeluar ayam terbesar di Kedah," ujarnya.

Sementara itu, Isa berkata, bagi harga daging tempatan pula, ia dijual berdasarkan bahagian lembu bermula RM20 hingga RM58 sekg.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, harga-harga daging tempatan ini telah ditetapkan oleh Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn. Bhd dan dipersetujui oleh FAMA.

"Harga daging tempatan yang dijual tidak melebihi RM35 sekg, daging harimau menangis harganya RM58 sekg dan daging batang pinang pula RM42 sekg.

"Bagi tulang campuran pula harganya adalah RM32 sekg, jantung RM25 sekg, hati RM28 sekg, limpa dan paru RM33 sekg, perut RM25 sekg, tetel RM20 sekg serta ekor pula RM37 sekg," katanya.

Tambahnya, harga tulang kaki pula dijual pada harga RM45 seunit manakala kepala RM60 seunit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!