Ain Sufia tak sempat bulan madu
BIARPUN kini sudah bergelar isteri, pelakon dan pelawak, Ain Sufia mengakui akan terus aktif dalam kerjaya seni seperti biasa.
Apatah lagi ia mendapat sokongan penuh daripada suami yang memahami minatnya dalam bidang seni asalkan dia tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan rumah tangga.
“Saya akan meneruskan aktiviti seni seperti biasa, dan tiada apa yang berubah. Syukur saya mendapat seorang suami yang sangat memahami dan sentiasa menyokong.
“Apa yang penting saya tahu menjaga batas sebagai seorang isteri dan menjalankan tanggungjawab dalam rumah tangga dengan sebaik yang mungkin,” ujar Ain.
Ain atau nama lengkapnya Nurul Ain Othman, 32, selamat diijabkabulkan dengan Mohd Nor Mutalib, 33, 1 Februari lalu di Nilai, Negeri Sembilan.
Tidak melihat kepada status suami yang sebelumnya bergelar duda kepada seorang anak perempuan, Ain yakin dia memilih lelaki yang betul dan mengharapkan perkahwinan ini akan terus berkekalan.
“Semenjak mula kami berkawan lagi dia sudah mendedahkan tentang statusnya itu dan sentiasa berterus-terang dengan saya dalam apa juga perkara. Malah pada awal lagi dia sudah memperkenalkan anaknya kepada saya untuk saling berkenalan.
“Saya tidak kisah langsung dengan status duda tersebut kerana saya lebih melihat kepada kualiti dalam dirinya yang matang, bertanggungjawab dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk perkahwinan kami.
“Memang biasa bila ada lelaki ajak saya berkahwin, tetapi bukan biasa-biasa apabila dia berani untuk berjumpa kedua ibu bapa saya dan serius menyatakan hasrat untuk memperisterikan saya meskipun pada ketika itu kami masih baru berkawan,” jelas Ain.
Menyesuaikan diri status baharu
Menyentuh tentang perancangan anak dan percutian bulan madu, kata pelakon Plan Cinta yang kini sedang hangat bersiaran di TV3 ini, buat masa ini mereka belum sempat memikirkan tentang perkara itu.
“Buat masa sekarang saya masih belum mempunyai apa-apa perancangan kerana terikat dengan kerja dan beberapa aktiviti seni yang telah dipersetujui lebih awal. Namun saya tidak tahu di pihak suami bagaimana kerana dia ini seorang yang full of surprise.
“Tentang anak, saya serahkan kepada rezeki. Sama ada awal atau lambat, kami terima dengan hati yang terbuka.
“Namun selepas berkahwin saya sudah pun mempunyai anak iaitu anak suami menerusi perkahwinan terdahulu. Jadi bolehlah biasakan diri dengan menjadi ibu dengan sebaiknya,” seloroh Ain.
Menurut pelakon yang sentiasa ceria ini, selepas dua minggu berkahwin, dia mula menyesuaikan diri dengan status sebagai isteri, dan dalam masa yang sama sebagai ibu kepada anak tiri.
“Alhamdulilah sekejap saja dah dua minggu kami berkahwin dan menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Semuanya berjalan dengan baik dan saya cuba menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu ini.
“Pada mulanya kekok juga sebab rasa tiba-tiba dah ada suami, dah ada anak. Namun beberapa hari selepas itu saya OK dan cuba memberikan yang terbaik buat suami dan anak.
“Kalau sebelum ini, apa yang saya fikirkan hanya tentang kerja sahaja, tetapi kini berbeza kerana sebelum keluar bekerja saya perlu pastikan semua tanggungjawab saya di rumah telah dilaksanakan,” kata Ain kepada Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!