Tubuh pusat simpan data akademik
SATU pusat atau badan khas perlu segera diwujudkan untuk menyimpan data mengenai ijazah akademik seseorang individu dalam usaha memastikan penggunaan ijazah palsu di negara ini dapat dibendung.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, ia bagi memudahkan majikan membuat pengesahan jika meragui ijazah akademik seseorang pemohon pekerjaan.
"Malaysia seharusnya ada badan nasional yang mendaftarkan apa sahaja ijazah diperolehi warga negara kita, sama ada dia dapat ijazah dari luar atau dalam negara. Dia harus daftarkan dan mana-mana pihak yang berminat untuk menyemak kesahihan ijazah berkenaan, boleh merujuk kepada badan tersebut.
"Jika kita tidak ada badan sedemikian, amat sukar bagi pihak majikan membuat carian mengenai kesahihah ijazah itu. Ini kerana pada kebiasaanya majikan akan menulis kepada institusi mengeluarkan ijazah melaui email dan jarang mereka mendapat respons daripada pihak tersebut," katanya.
Menurutnya, badan khas tersebut perlu diwujudkan segera memandangkan masalah ijazah palsu bukan perkara baharu dan berada pada tahap membimbangkan.
"Jika ijazah itu dijual dalam negara, kita mempunyai undang-undang untuk mendakwa mereka. Tetapi menjadi masalah apabila ia berlaku di luar negara, kita tidak ada bidang kuasa untuk menghalang penjualan berkenaan.
"Apa yang boleh kita buat adalah mendakwa orang yang membeli dan memiliki ijazah palsu berkenaan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Biarpun kecoh, ijazah palsu masih dijual di Internet
ARTIKEL BERKAITAN: Sijil palsu: 30 hingga 40 kes direkod sebulan
ARTIKEL BERKAITAN: Sijil palsu: Bimbang warga asing ambil kesempatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!