Sindiket judi dalam talian, 12 individu ditahan

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di sebuah kediaman di Jalan Kerinchi, pada Jumaat.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di sebuah kediaman di Jalan Kerinchi, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 12 individu termasuk tiga wanita disyaki terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian ditahan di sebuah kediaman di Jalan Kerinchi di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua individu termasuk dua lelaki warga China berusia 17 hingga 37 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 10 malam.

"Polis turut merampas pelbagai alat yang digunakan termasuk 49 telefon bimbit pelbagai jenis, 11 komputer riba, 10 tetikus dan dua keping kad akses," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Anuar berkata, hasil siasatan mendapati kediaman itu dijadikan sebagai pusat panggilan sejak sebulan lalu.

"Kesemua individu itu mengaku bekerja sejak dua minggu lalu di premis tersebut selepas melihat iklan tawaran di Facebook sebagai operator.

"Mereka ditugaskan untuk mencari pelanggan dari China melalui aplikasi QQ, Wechat dan Skype sebelum mempromosikan perjudian atas talian," katanya.

Beliau berkata, mereka mendakwa ditawarkan gaji antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan mengikut kepakaran.

"Kesemua individu itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!