Platform 'AkuPN' permudah pencarian pekerjaan

Tangkap layar dari video klip di laman web AkuPN yang dibangunkan atas inisiatif Pemuda Perikatan Nasional (PN).
Tangkap layar dari video klip di laman web AkuPN yang dibangunkan atas inisiatif Pemuda Perikatan Nasional (PN).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Platform sehenti dalam talian iaitu Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN) ‘diaktifkan’ bagi membantu orang ramai menjana pendapatan, mencari pekerjaan, meningkatkan skil dan memulakan langkah dalam bidang keusahawanan.

Di bawah ekosistem digital itu, orang ramai boleh mencipta dan memaparkan resume masing-masing, memilih dan menyertai pelbagai latihan kemahiran serta meraih dana untuk keperluan perniagaan dengan jumlah maksimum RM10,000 menerusi pilihan menu ‘Cari Kerja,’ ‘Skil’ dan ‘Sapot.’

Platform itu, yang dibangunkan atas inisiatif Pemuda Perikatan Nasional (PN), mendapat kerjasama antaranya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sumber Manusia, Perbadanan Kemajuan Halal (HDC), Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera serta Tekun Nasional.

Ketua Pemuda PN, Khairil Nizam Khirudin berkata, dengan pelbagai program latihan kemahiran disediakan kerajaan melalui Belanjawan 2021 dan Pakej Rangsangan Ekonomi serta potensi usahawan tempatan yang harus digembeleng inovasi dan produktiviti mereka, pihaknya terpanggil untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara kepada orang ramai,

“Maka Pemuda PN ingin mengajak seluruh rakyat khususnya anak muda Malaysia untuk bersama menyertai dan mendaftarkan diri sebagai komuniti AkuPN. Yakinlah setiap kita mempunyai peranan dan tanggungjawab signifikan demi masa depan kita semua.

“Ayuh, segera layari laman sesawang https://akupn.my/ demi kemajuan dan jati diri bangsa Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!