Anak- anak Khalish teruja dapat baju raya baharu
SEREMBAN - Anak-anak penyanyi Muhammad Khalis Md Shari mengakui mereka tidak fikir dapat berhari raya kerana keadaan bapanya yang perlu mendapat lebih perhatian.
Khalis atau nama sebenarnya Muhammad Khalish Md Shari, 33, kini terlantar akibat kencing manis.
Siti Rusnaida Umierah Rusli, 17, bagaimanapun berkata, dia teruja apabila dimaklumkan ibunya, Zalina Azman, 40, bahawa ada pihak yang mahu menaja pakaian baharu untuk beraya.
"Kalau ikutkan tahun ini memang tiada baju raya sebab ayah sakit. Tapi bila mak beritahu ada pihak mahu belikan baju raya, adik-adik teruja sangat.
"Ayah paling gembira dan mahukan tema 'marron',"," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui memilih baju raya tajaan Iman Boutique di Senawang menerusi Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS).
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya harap suami pulih seperti sedia kala'
Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, sebelum ini mereka adik-beradik dimaklumkan ibu bahawa tiada baju raya dan adik-adiknya juga faham serta bersetuju memakai baju lama.
"Kami sedih sebab tidak dapat beraya seperti biasa. Tapi ini ujian buat kami sekeluarga," katanya.
Ujarnya, menjadi kebiasaan setiap kali pagi raya ayahnya meminta mereka semua bergambar sekeluarga sebagai kenangan.
Selain itu katanya, sebagai anak perempuan sulung, menjadi rutinnya membantu ibunya menguruskan bapa mereka.
"Ayah selalu pesan jaga adik-adik. Dia pun minta maaf kalau susahkan anak-anak dengan keadaan kesihatannya. Saya harap sangat ayah sihat semula," katanya.
Pada Rabu Sinar Harian melaporkan Khalis merupakan adik kepada vokalis kumpulan Spin, Allahyarham Achik dan abang kepada penyanyi Tajul kini hanya mampu terbaring di rumah selepas jatuh sakit.
Menurut Zalina, suaminya mula menghidap penyakit kencing manis sejak tahun 2018.
ARTIKEL BERKAITAN: Khalis, abang penyanyi Tajul derita sakit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!