Hutan Amazon musnah
RIO DE JANEIRO - Aktiviti penebangan hutan hujan Amazon menyebabkan kawasan seluas 580 kilometer persegi musnah, sekali gus mencipta rekod pada bulan lalu, menurut laporan pemerintah berdasarkan data satelit pemantau milik agensi angkasa INPE pada Jumaat.
Data itu juga menunjukkan kegiatan penebangan hutan secara haram itu berada pada tahap tertinggi pada Mac berbanding tempoh 12 bulan sebelum itu.
Walaupun sebelum ini Presiden Brazil, Jair Bolsonaro berikrar untuk bertindak tegas terhadap aktiviti tersebut yang dilakukan secara berleluasa dan memastikan ia dapat ditangani menjelang tahun 2030.
Pada minggu lalu, sebuah kajian yang diterbitkan jurnal Nature Climate Change mendedahkan hutan Amazon yang digelar sebagai 'paru-paru bumi' dan berkeluasan kira-kira 5.5 juta kilometer persegi membebaskan hampir 20 peratus karbon dioksida ke atmosfera berbanding kadar yang diserap olehnya sejak sedekad lalu.
Laporan itu menunjukkan manusia tidak lagi boleh bergantung kepada hutan tropika tersebar di dunia itu untuk membantu menyerap pencemaran karbon buatan manusia. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!