PATI warga Thailand gila seks ditahan
KOTA BHARU – Seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand yang dipercayai gila seks kerana menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita di Jalan Taman Limau Manis di sini ditahan polis pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, suspek berusia 29 tahun ditahan dan pemeriksaan mendapati dia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Ujian urin mendapati suspek negatif dadah namun suspek ditahan bagi membantu siasatan kes kelucahan melampau di Taman Limau Manis.
“Suspek ditahan reman sehingga 17 Mei ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana kelucahan dan mengaibkan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berbasikal dan berlegar-legar kemudian menunjukkan kemaluan kepada seoranh jurujual wanita berusia 23 tahun ketika mangsa berseorangan meletakkan kereta di Taman Limau Manis pada 27 April lalu.
Mangsa yang menyangkakan suspek peminta sedekah menghulurkan RM1 namun suspek membuka zip seluar dan menggosok kemaluannya.
Perlakuan suspek tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di taman perumahan berhampiran sebuah pusat membeli belah di Jalan Hamzah dan tular di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!