Syukur dapat tuan rumah, jiran yang baik
JELEBU - Seorang ibu tunggal dari Kampung Sungai Rotan Dua di sini melahirkan rasa syukur kerana tuan rumah disewanya serta jiran-jiran amat mengambil berat kehidupan mereka sekeluarga.
Nurashikin Ali, 47, berkata, dia sekeluarga menyewa di situ sejak tiga tahun lalu bersama tiga anak berusia lapan hingga 19 tahun.
Bagaimanapun, dia sekeluarga mengalami kesempitan hidup berikutan penyakit kencing manis dan radang otot yang dihidapinya.
"Ada kala tuan tidak mengambil duit sewa, malah turut membantu kami empat beranak membeli barang keperluan.
"Begitu juga dengan jiran sekeliling yang datang melawat dan menghulurkan bantuan kepada anak-anak ketika ketika saya masuk wad di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selama 10 hari pada awal Ramadan lalu," katanya ketika menerima kunjungan Persatuan Belia Warisan Perdana, Briged Negaraku dan Persatuan Kelab-Kelab Belia (MAYC) Negeri Sembilan sempena Program Mahabbah Ramadan pada Jumaat.
Nurashikin berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai makan berhampiran rumah, namun sebaik keluar wad dia hanya berehat di rumah.
Mengenai sambutan Aidilfitri, katanya, dia menyambutnya secara sederhana kerana perlu berjimat cermat.
"Saya menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 dan Baitulmal sebanyak RM250. Selain itu saya dibantu anak sulung yang bekerja sebagai pekerja am di Kuala Klawang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, Muhammad Nazmi Adnan berkata, ibu tunggal dan golongan asnaf merupakan keutamaan pada program yang menggabungkan pelbagai kelab dan persatuan itu.
"Kita menjalankan amanah yang diberikan dengan menyampaikan sumbangan daripada ahli dan pihak lain kepada golongan kurang kemampuan yang dikenal pasti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!