Ambil pengajaran dari India
PANDEMIK Covid-19 yang kembali merebak dengan serius di Malaysia sejak seminggu lalu perlu menjadi peringatan kepada semua pihak.
Ini disuarakan oleh Nanyang Siang Pau dalam kolum lidah pengarangnya yang memberikan amaran kepada negara kita agar tidak menjadi seperti yang dialami oleh negara India ketika ini.
Akhbar Cina itu menulis, kegagalan Parti Bharatiya Janata pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam pilihan raya di wilayah Bengal Barat baru-baru ini menggambarkan protes rakyat terhadap kerajaan beliau.
Ini berikutan rakyat jelata yang rata-ratanya marah terhadap kedegilan Modi untuk mengadakan pilihan raya wilayah biarpun negara mereka sedang dilanda Covid-19 dengan teruk.
Modi dikecam kerana lebih berminat kepada pilihan raya dan tidak mengambil berat terhadap Covid-19 yang telah mencatatkan angka korban yang banyak dalam tempoh singkat.
“Hasil keputusan dalam pilihan raya wilayah tersebut sebenarnya tidak memberikan kejutan kepada semua orang. Ketika negara menghadapi krisis seperti Covid-19 ini, rakyat jelata sebenarnya lebih memerlukan pembelaan dan bantuan.
“Rakyat jelata tahu menilai bagaimana kesungguhan kerajaan dalam menangani pandemik itu. Modi memandang sepi terhadap kesihatan dan keselamatan rakyatnya. Beliau berkeras mengadakan pilihan raya dan menganjurkan kempen serta perhimpunan secara besar-besaran.
“Tindakan Modi itu dikecam dengan hebat. Rakyat akhirnya menyatakan perasaan mereka melalui undi di tangan. Itulah nasib yang sama dialami oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam pilihan raya presiden tahun lalu. Modi dan Trump tidak meletakkan kepentingan nyawa rakyat sebagai agenda utama mereka,” tulis akhbar itu.
Begitu juga dengan situasi di negara kita. Sebelum ini ramai beranggapan virus Covid-19 mampu disekat dan tidak mungkin menular dengan serius.
“Bagaimanapun, ia kembali menular dengan jumlah yang tinggi sehingga kerajaan terpaksa mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tiga negeri iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan serta beberapa daerah lain di negara kita.
“Sesungguhnya kebanyakan rakyat di negara kita sudah tidak bermaya untuk melakukan pencegahan secara berkesan,” kata akhbar itu lagi.Memandangkan situasi semakin membimbangkan, akhbar itu menyarankan agar semua parti politik di negara kita, sama ada parti pemerintah ataupun pembangkang mengetepikan fahaman politik masing-masing untuk menumpukan usaha memerangi pandemik Covid-19 ini.
“Melihat kegagalan kerajaan menangani dengan baik, pihak parti pembangkang lalu terus mendesak agar kerajaan mengadakan sidang parlimen semula bagi semua ahli parlimen berbincang pelan pencegahan secara menyeluruh.
“Sementara rakyat jelata pula masih tertanya-tanya kepada kerajaan apakah garisan jumlah kes harian boleh didatarkan sebelum proklamasi perintah darurat yang akan tamat pada 1 Ogos depan?”
Nanyang Siang Pau berkata, tidak ada negara di dunia ini yang memungkinkan parti kerajaan dengan parti pembangkang mencapai kerjasama dan kata sepakat dalam apa jua hal sekalipun. Malaysia pun tidak terkecuali.
“Tetapi ketika Covid-19 sedang menular dan mengancam keselamatan rakyat jelata, parti kerajaan dan pembangkang perlulah mencapai persefahaman demi kepentingan negara.
“Semua parti politik mesti memikirkan kesihatan rakyat jelata. Hentikan permainan politik masing-masing. Apa yang berlaku di India ketika ini perlu dijadikan sebagai cermin betapa pentingnya kerajaan dan pembangkang bersatu dan berusaha memerangi Covid-19 ini,” tulis akhbar itu.
* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!