Inisiatif MARA bantu usahawan terjejas, 16,526 terima manfaat
Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberikan komitmen yang luar biasa dalam merancakkan semula ekonomi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawahnya.
Apabila pandemik covid tercetus pada tahun lepas, MARA telah mengambil beberapa inisiatif seperti memperkenalkan skim khas bantuanu sahawan yang terjejas di bawah Skim Kemudahan Pembiayaan Pengukuhan Perniagaan (SPAK), Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) PKS, pengecualiaan sewa, moratorium pinjaman dan memastikan program sedia ada disasarkan untuk memulih dan mengukuhkan usahawan MARA.
Kerajaan turut menyalurkan dana melalui Pakej Rangsangan Ekonomi, sebanyak 50 juta bagi menaik taraf premis perniagaan dan RM300 juta melalui Skim PENJANA IPTS bagi meningkatkan prestasi perniagaan.
Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, manfaat ini termasuk latihan keusahawanan secara atas talian yang dilaksanakan khusus untuk membantu PKS yang terjejas akibat pandemik.
“Kemudahan yang disediakan adalah bersifat menyeluruh merangkumi latihan, promosi produk, pembiayaan perniagaan, peningkatan imej premis serta pengecualian bayaran balik pembiayaan dan sewa,” katanya.
Menurutnya, inisiatif ini merupakan tanda keprihatinan MARA terhadap PKS bagi meringankan beban serta membolehkan mereka menyusun semula strategi perniagaan untuk bangkit semula di dalam industri.
Bantu lonjak jualanPembiayaan yang disalurkan MARA semasa pandemik Covid-19 memberi lonjakan pendapatan kepada ramai usahawan bimbingan agensi itu apabila mereka merekodkan jualan tahunan berlipat ganda.
Pemilik Wahyuni Beauty & Muslim Spa, Azrina Ibrahim berkata, jualan tahunan tiga spa miliknya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM400,000 pada tahun lalu berbanding RM60,000 sebelum ini.
“Tahun lalu saya dapat pembiayaan Skim Kemudahan Pembiayaan Pengukuhan Perniagaan Mara (SPAK) sebanyak RM9,000 iaitu pinjaman tanpa penjamin dan tanpa faedah.
“Bantuan ini saya guna untuk tampung bayaran gaji pekerja kerana spa tidak dapat beroperasi. Saya turut dapat Bantuan Program Subsidi Upah (PSU) daripada kerajaan,” katanya yang membuka spa berkonsep pusat sehenti muslimah di Arau, Kangar dan Alor Star.
Sebelum itu dia turut menerima bantuan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) berjumlah RM50,000, termasuk menikmati kemudahan moratorium pembayaran pinjaman MARA selama enam bulan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dikuatkuasakan Mac tahun lalu.
Malah spa cawangan Arau dan Kangar yang terletak di premis MARA juga dikecualikan bayaran selama dua bulan dan diskaun sewa sebanyak 30 peratus pada bulan berikutnya.
Sementara itu, pemilik kafe berkonsep makanan barat Ce’embun Cafe, Mohd Zawawi Mohd Sharif pula menyifatkan Bantuan MARA memberinya peluang membuka sebuah lagi cawangan kedai semasa pandemik Covid-19 melanda negara tahun lalu.
Cawangan pertama kafenya terletak di Bagan Serai manakala kedua di Parit Buntar yang dibuka pada Julai 2020.
“Saya terima pembiayaan SPiM berjumlah RM75,000 dan pembiayaan SPAK sebanyak RM10,000. Wang ini saya guna untuk pembelian peralatan dapur serta kos penyelidikan dan pembangunan produk juga pemasaran,” katanya.
Dengan bantuan MARA itu, jualan tahunan yang direkodkan kafe Mohd Zawawi, 26, meningkat kepada RM312,000 pada tahun lalu berbanding RM36,000 tahun sebelumnya.
Pemilik kedai percetakan dan pengiklanan di Pahang, Siti Norshazriyana Mauludin pula memperoleh bantuan di bawah Program Peningkatan dan Pembangunan Standard Perniagaan (BASE) daripada MARA pada tahun lalu berjumlah RM33,000.
Pembiayaan tambahan sebanyak RM10,000 turut diterima daripada agensi lain dan kedua-dua bantuan itu digunakan untuk menampung modal pusingan selain digunakan untuk membayar gaji pekerja. Syarikatnya DShaz Enterprise turut menerima Bantuan pembiayaan SPiM sebanyak RM30,000 pada 2017 yang telah selesai dibayar balik, diikuti pembiayaan sama pada 2019 berjumlah RM130,000 dan pembiayaan SPAK sebanyak RM10,000 pada tahun sama.
“Waktu PKP 1.0 selama tiga bulan, kedai terpaksa ditutup jadi bantuan yang diberikan MARA sangat membantu saya kerana saya dapat guna untuk beli barang dan bayar gaji pekerja.
“Pembayaran gaji pekerja turut ditampung dengan PSU. Selain itu saya juga nikmati kemudahan penangguhan bayaran balik pinjaman selama enam bulan,” katanya.
Jelas Siti Norshazriyana, 35, semua bantuan yang diberikan itu melonjakkan prestasi perniagaannya apabila mencatatkan jualan tahunan RM360,000 pada tahun lalu berbanding RM200,000 sebelumnya.
Aidilfitri masa sesuai kukuh jenama di pasaranUsahawan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) antara yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 terutama ketika sambutan Aidilfi tri pada tahun lalu.
Tahun ini, dengan inisiatif MARA menyediakan platform kepada usahawan memperkenalkan jenama produk mereka, ia bukan hanya memberi peluang untuk mereka tambah pendapatan ketika Aidilfi tri, malah mengangkat jenama tempatan ke pasaran antarabangsa.
Peluang itu sekali gus membuktikan produk usahawan tempatan bimbingan MARA berkualiti tinggi dan setanding dengan produk jenama popular.
Pemilik Mislinda Food Empire, Mislinda Marzuki yang mengeluarkan produk dodol berkata, khidmat latihan dan ruang pemasaran yang diberikan MARA membolehkan syarikatnya meneroka pasaran Timur Tengah.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 10 karton dodol telah dihantar ke Kedai Asia di Arab Saudi untuk melihat sambutan pembeli di negara berkenaan.
“Untuk sampai ke tahap ini bukan senang dan MARA banyak membantu saya untuk memperluaskan pasaran. Melalui kerjasama yang dimeterai MARA dengan Petronas, saya dapat pasarkan produk dodol di semua stesen minyak Petronas sejak Februari lalu,” katanya kepada Sinar Harian.
Mislinda, 45, yang mengusahakan syarikat itu bersama suaminya, Latif Mustari, 46, berkata, momentum itu dilonjakkan lagi apabila dodol itu akan turut dipasarkan di semua Kedai Mesra Petronas di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Kursus keusahawanan yang disediakan MARA dari segi jenama, penetapan harga dan pembungkusan banyak bantu saya untuk tambah baik produk dari semasa ke semasa.
“Selain itu, pembiayaan modal dan geran daripada MARA juga membantu saya membeli peralatan dan mesin pembungkusan yang direka khas,” katanya.
Pasangan itu menerima pinjaman modal MARA berjumlah RM150,000 pada 2018 diikuti geran pembelian mesin pembungkusan berjumlah RM100,000.
Produk itu diusahakannya sejak 10 tahun lalu dengan menjual dodol tradisional secara kecil-kecilan dan ketahanan dodol hanya dua minggu.
Bertitik tolak daripada itu, pada 2017 mereka mengeluarkan produk dodol premium selepas melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berasaskan teknologi enzim dodol.
Teknologi itu membolehkan produk makanan tradisional itu tahan selama setahun walaupun tanpa menggunakan bahan pengawet.
Produk yang menggunakan jenama The Dodol Connoisseur itu dibekalkan ke hotel-hotel terkemuka di ibu Negara yang dijadikan hadiah kepada tetamu yang menginap.
Bagaimanapun, ekoran penularan pandemik Covid-19 pada tahun lalu yang menyebabkan sektor pelancongan terjejas teruk, jualan produk dodol mereka turut merosot.
Mislinda menjelaskan, keadaan itu mendorongnya mengeluarkan satu lagi produk dodol yang menggunakan jenama Miss Dodol yang mempunyai tiga varian perasa iaitu durian, asli dan kopi.
Ujarnya, kesemua produk itu bagi memenuhi kehendak pelanggan dan memberi variasi kepada produk makanan tradisional Melayu berkenaan terutama pada musim perayaan kali ini.
Bagi pemilik jenama baju kurung Iris Jasmin, Fyrose Zainuddin, program MARA In Fashion membolehkannya memperkenalkan jenamanya.
Perniagaan menjual baju kurung kain kapas bermotif moden urban dimulakannya pada 2015 dan dijual secara dalam talian.
“MARA In Fashion membantu saya perkenalkan jenama Iris Jasmin ke pasaran yang lebih luas. Namun, saya akui penularan Covid-19 pada tahun lalu turut menjejaskan jualan saya. Tetapi dengan bantuan yang diberikan MARA, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban,” katanya.
Fyrose memperoleh Bantuan pembiayaan modal sebanyak RM30,000 tahun lalu dan merupakan usahawan inkubator MARA di bawah Program STAR.
Katanya, sempena perayaan Aidilfi tri, pihaknya menawarkan tawaran istimewa dengan menawarkan pakej kombo untuk pembelian dua pasang baju pada harga RM300.
“Saya turut adakan ‘happy hour’ dengan menawarkan dua pasang baju hanya pada harga RM250 sahaja. Harga biasa setiap sepasang baju adalah RM189. Melalui penawaran itu, pelanggan akan memperolehi penjimatan jika belian lebih daripada sepasang,” katanya.
Sependapat dengan Fyrose, pemilik jenama beg tangan dan aksesori Paku, Miya Ahmad turut mengakui Program MARA In Fashion banyak membantu jenama produknya dikenali ramai.
Katanya, rentetan itu dia dapat membuka studio sendiri pada Ogos tahun lalu selepas memulakan perniagaan itu di rumah pada 2013.
“Alhamdulillah berkat bimbingan MARA juga saya dapat wujudkan laman sesawang sendiri untuk penjualan beg tangan dan aksesori yang dijual.
“Sempena musim perayaan Aidilfitri kali ini, saya mengeluarkan tiga koleksi beg tangan raya,” katanya.
Menyentuh mengenai kelainan jenama beg tangannya, yang dijual adalah rekaan khas menggunakan teknik potong dan lipat.
Kata graduan jurusan senireka fesyen dari UiTM Shah Alam itu, produk beg tangan itu dihasilkannya sendiri berbekalkan kemahiran yang dimilikinya.
“Untuk kembangkan lagi perniagaan saya telah mohon bantuan pembiayaan daripada MARA. Sebelum ini saya menggunakan modal sendiri bagi pengoperasian perniagaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!