46 pengunjung pusat hiburan dikompaun
GEORGETOWN - Seramai 46 individu termasuk 16 wanita dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengunjungi pusat hiburan di Jalan Georgetown di sini awal pagi Ahad.
Serbuan dilakukan pasukan Polis Daerah Timur Laut dengan kerjasama Balai Polis Central pada jam 1 pagi selepas mendapat maklumat tentang pengoperasian pusat hiburan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketika serbuan dilakukan kesemua mereka sedang leka berhibur, namun selepas menyedari kehadiran pasukan polis ada di antara mereka yang cuba meloloskan diri.
Menurutnya, salah seorang daripada mereka bertindak memanjat tembok untuk melarikan diri, namun usahanya ternyata sia-sia selepas dia berjaya ditangkap pasukan serbuan.
"Mereka yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 57 tahun didapati sedang berhibur di premis berkenaan dalam keadaan sesak tanpa menghiraukan amalan penjarakan fizikal.
“Kita tidak menolak kemungkinan disebabkan daerah Timur Laut bakal melaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bermula 10 Mei menyebabkan mereka keluar bersama rakan-rakan ke pusat hiburan sebelum pergerakan mereka terbatas selepas ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Soffian berkata, kesemua mereka dikompaun RM5,000 setiap seorang, manakala pemilik pusat hiburan itu dikenakan kompaun RM50,000 atas kesalahan yang sama.
Dalam perkembangan sama, Soffian berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pusat hiburan yang jelas ingkar perintah SOP PKP yang akan bermula Isnin ini di daerah Timur Laut bagi memastikan pematuhan terhadap SOP sentiasa di tahap yang tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!