Pengangkutan awam di stesen, terminal bawah HIDE terus beroperasi
KUALA LUMPUR - Semua perkhidmatan pengangkutan awam di stesen dan terminal yang tersenarai di bawah sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) akan terus beroperasi.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan berkata, walau bagaimanapun semua premis perniagaan di stesen yang tersenarai akan ditutup selama tiga hari dari 9 hingga 11 Mei mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Sebarang penutupan atau pembukaan premis perniagaan di LRT KLCC, LRT Masjid Jamek dan KL Sentral adalah tertakluk kepada arahan MKN dari masa ke masa.
"Perkhidmatan pengangkutan awam sangat penting bagi negara terutama bagi barisan hadapan yang bergantung pada operasi berterusan walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah kenyataan itu, semua stesen pengangkutan awam perlu sentiasa dibuka bagi tujuan pemindahan atau penghantaran bekalan penting sekiranya berlakunya kecemasan.
Kata kenyataan itu, stesen pengangkutan tersebut juga dilengkapi dengan alat pengimbas suhu di samping penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ketat.
"Dalam masa sama, MOT juga ingin mengingatkan kepada semua pengguna pengangkutan awam untuk terus mematuhi SOP di semua stesen dan terminal termasuk penggunaan hand sanitiser, memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal sebaik mungkin serta mengimbas kod QR MySejahtera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!