'Saya tetap tunggu di sini selagi dia tak ditemui'
SEREMBAN - Meskipun masih tidak menemui sebarang petunjuk, namun kerana kasihnya seorang ibu, Nor Ain Ismail, 27, masih setia menunggu di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) anak lelakinya yang dikuatiri lemas sejak petang Sabtu.
Wanita itu yang ditemui Sinar Harian berkata, dia tidak mampu untuk pulang ke rumah selagi anak ketiganya, Mohamad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8, tidak dijumpai.
Selepas diberitahu mengenai kejadian itu, Nor Ain bergegas ke lokasi dan hanya pulang ke rumah pada jam 4.30 pagi Ahad untuk mandi dan menukar pakaian sebelum datang semula ke lokasi sejam selepas itu.
"Malam tadi saya tidur dalam kereta ditemani oleh ahli keluarga lain.
"Hati saya tak tenang selagi anak saya tidak dijumpai dan saya akan tetap tunggu di sini selagi dia tak ditemui," katanya kepada Sinar Harian.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan ungkapan selamat tinggal menjadi ayat terakhir yang sempat diucapkan oleh Mohamad Syafiq Mustaqim sebelum dia dihanyutkan arus deras selepas tergelincir ke dalam longkang berhampiran Flat Cempaka di Seremban 2 di sini.
Ketika kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa sedang bermain dengan abangnya yang berusia sembilan tahun dan seorang kawan berusia 12 tahun.
Nor Ain berkata, anaknya tidak pernah bermain di kawasan itu dan hanya bermain di kawasan rumah sebelulm ini.
"Tapi entah macam mana dia nak pergi bermain kat situ hari ini. Abangnya dah larang, tapi dia tak dengar sebab itulah abangnya terpaksa ikut sama.
"Tapi katanya masa adik nak basuh kaki dia tergelincir dan paling sedih dia sempat cakap selamat tinggal," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Selamat tinggal' ayat terakhir sebelum dihanyutkan arus deras
Operasi SAR budak jatuh longkang diperluas
Kanak-kanak dikhuatiri lemas terjatuh dalam longkang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!