Dua anggota polis cedera dilanggar ketika bertugas
KUALA PILAH – Dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah cedera selepas dilanggar sebuah kereta ketika bertugas di kilometer satu, Jalan Kuala Pilah-Tampin di sini awal pagi Ahad.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, kedua-dua anggota berkenaan iaitu Konstabel Azrul Hafifi Abd Halim dan Lans Koperal Muhamad Nur Firdaus Marsah berhenti di bahu jalan sebelah kiri arah Tampin untuk membuat pemeriksaan terhadap seorang penunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, secara tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah Kuala Pilah dipandu oleh seorang lelaki berusia 33 tahun telah melanggar penunggang dan motosikal URB yang berada di bahu jalan tersebut.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua anggota mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk rawatan.
"Masing-masing mengalami patah tangan dan kaki, namun salah seorang telah dibenarkan keluar manakala seorang lagi masih menerima rawatan," katanya.
Katanya, penunggang motosikal dan pemandu Perodua Myvi tidak mengalami kecederaan.
"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!