4 lelaki dikompaun alih penghadang untuk rentas daerah
PASIR MAS - Tiga penunggang motosikal dan pemandu kereta dikompaun RM5,000 setiap seorang selepas bertindak mengalihkan penghadang jalan jenis 'water barrier' di susur masuk ke Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong bagi tujuan merentas daerah untuk ke Kota Bharu pada awal pagi Ahad.
Mereka ditahan anggota polis yang melakukan intipan di lokasi berkenaan dalam usaha mengekang aktiviti rentas daerah secara tidak sah sekitar jam 1 pagi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, ketika ditahan kesemua individu terbabit gagal mengemukakan surat permohonan rentas daerah yang sah.
"Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Pasir Mas telah melihat pengguna jalan raya cuba mengalihkan penghalang untuk menuju ke Kota Bharu.
"Tindakan berani itu mengundang padah apabila mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas sebelum dikenakan kompaun sebanyak RM5,000," katanya.
Mohd Nasaruddin menasihatkan orang ramai patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) kerana polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Jika tiada keperluan untuk keluar duduk di rumah dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!