Amerika 'restui' kekejaman Zionis
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) didakwa bersikap lepas tangan berhubung keganasan sekutu kuatnya, Israel di pekarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur.
Pentadbiran Presiden Joe Biden enggan mengecam tindakan rejim Zionis sebaliknya menyalahkan kedua-dua pihak susulan pertempuran di tempat ketiga paling suci bagi umat Islam itu sejak beberapa minggu lalu.
Penganjur kebangsaan bagi Jawatankuasa Anti-Diskriminasi Arab Amerika (ADC), Jinan Deena mengatakan bahawa kenyataan AS itu secara terang-terangan mengabaikan pelanggaran dan penindasan Israel.
“Pentadbiran Joe Biden sengaja mengubah naratif pertempuran di al-Aqsa dengan melabelkan sebagai konfrontasi kedua-dua pihak berbanding menggelarnya sebagai jenayah aparteid oleh Israel.
“Dalam konteks pertempuran di Baitulmaqdis Timur, tiada istilah kedua-dua pihak. Ini kerana Palestin berada di bawah penaklukan Israel dan AS menyokongnya secara sistematik,” ujarnya.
Sementara itu, nada sama disuarakan Presiden Generasi Baharu Palestin, Amer Zahr.
Menurutnya, kenyataan AS itu memihak Israel dan seolah-olah menggambarkan rakyat Palestin sebagai pencetus masalah di Baitulmaqdis Timur.
“AS mahu Palestin dan Israel kurangkan ketegangan di Baitulmaqdis Timur sedangkan tiada pegawai Palestin berada di Baitulmaqdis Timur kerana Zionis melarang orang-orang Palestin melakukan kegiatan politik di kawasan itu,” katanya sambil menambah penindasan Israel di Baitulamqdis Timur sudah berlanjutan selama lebih lima dekad.
Ketegangan di Baitulmaqdis Timur meningkat dalam beberapa minggu terakhir apabila Israel melarang akses penduduk Palestin ke beberapa bahagian di Kota Lama sepanjang bulan Ramadan.
Pertempuran baharu tercetus pada Jumaat selepas rakyat Palestin berhimpun di pekarangan al-Aqsa bagi menunjukkan solidariti mereka terhadap pengusiran 28 buah keluarga dan 500 isi rumah di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah.
Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan Hamas memberi amaran bahawa Israel akan menerima balasan kerana menyerang rakyat Palestin di kawasan yang dicerobohinya di Baitulmaqdis Timur.
“Penceroboh akan menerima akibat kerana mengotorkan Masjid al-Aqsa dan menyerang jemaah,” kata anggota kanan Hamas, Moussa Abu Marzouk dalam satu kenyataan.
Abu Marzouk turut membidas negara-negara Arab kerana berdiam diri terhadap situasi di Baitulmaqdis Timur.
“Sikap berdiam diri menggalakkan pencerobohan di Masjid al-Aqsa dan serangan terhadap penduduk Palestin,” katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!