MAFI bantu pulihkan tanah terbiar
PASIR MAS - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedia berkongsi kepakaran yang dimiliki oleh agensi di bawah seliaannya untuk memulihkan semula tanah terbiar bagi tujuan pertanian.
Timbalan MAFI II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, langkah ini merupakan salah satu usaha menggalakkan individu atau kumpulan terutama anak muda berkecimpung dalam bidang pertanian.
"Bila berjaya dipulihkan, MAFI berharap individu atau kumpulan terlibat menunjukkan komitmen tinggi sepanjang proses mengusahakan tanah-tanah ini," katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau projek tanaman tembikai di Kampung Gelang Mas di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, Rozi Mohamad.
Menurutnya, MAFI tidak mahu aktiviti pertanian itu terhenti di pertengahan jalan sahaja selepas menerima bantuan sebaliknya mahu terus kekal berjalan.
Beliau berkata, selain itu bantuan berbentuk barangan merupakan salah satu usaha merancakkan proses pemulihan tanah.
Ahli Parlimen Tumpat itu berkata, langkah tersebut bertujuan menambah 'kantung' makanan negara pada masa akan datang.
Katanya, MAFI sedang menggerakkan usaha untuk menarik lebih ramai golongan muda berkecimpung dalam pertanian.
"Ia diperkasakan lagi dengan penubuhan pasukan khas dalam menarik minat golongan muda menceburi bidang tersebut.
"Kita berharap generasi muda dapat merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan ini dengan sebaik mungkin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!