177,900 kekosongan jawatan pada suku pertama 2021
SHAH ALAM - Sektor ekonomi merekodkan 177,900 kekosongan jawatan pada suku pertama 2021, sekali gus menunjukkan prestasi ekonomi yang lebih baik.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, kekosongan jawatan di sektor ekonomi meningkat sebanyak 7.2 peratus berbanding dengan suku tahun sama tahun lepas dengan 177,900 kekosongan jawatan (suku tahun pertama 2020 sebanyak 166,000).
Beliau berkata, peningkatan kekosongan jawatan itu selari dengan prestasi ekonomi lebih baik dan dalam tempoh tersebut, nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun buat pertama kalinya dengan 9.3 peratus manakala Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi Mac juga meningkat sebanyak 9.3 peratus.
“Namun demikian, bilangan kekosongan jawatan pada suku tahun ini masih belum mencapai paras normal seperti sebelum krisis yang merekodkan secara puratanya 200,000 kekosongan jawatan dengan kadar kekosongan jawatan pada suku tahun ini meningkat 0.2 mata peratus (berbanding 1.9 peratus untuk tempoh masa sama tahun lalu).
“Lebih separuh daripada kekosongan jawatan pada suku pertama tahun ini adalah dalam kategori separuh mahir dengan 55.5 peratus atau bersamaan dengan 98,700 kekosongan, diikuti kategori mahir 23.5 peratus (41,800) dan berkemahiran rendah 21 perarus (37,400),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, antara perkara menyumbang kepada pemulihan itu ialah kelonggaran beberapa sekatan yang dikenakan pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Januari selain pelbagai insentif dan pakej rangsangan dilaksanakan kerajaan.
Mohd Uzir berkata, mengikut sektor ekonomi, kebanyakan kekosongan jawatan adalah di sektor pembuatan yang merekodkan 100,900 kekosongan jawatan (56.7 peratus), terutama di subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (30,600), diikuti oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (18,700).
“Sementara itu, kekosongan jawatan di sektor pertanian merangkumi 28,500 kekosongan jawatan (16 peratus) dengan sebahagian besarnya di subsektor tanaman dan ternakan.
"Terdapat sebanyak 26,800 kekosongan jawatan (15.1 peratus) di sektor perkhidmatan terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit,” katanya.
Mengulas mengenai kedudukan keseluruhan jawatan pada suku pertama tahun 2021, beliau berkata, jumlah jawatan di sektor ekonomi pada suku tahun ini berkurang secara berterusan sejak empat suku tahun yang lepas kepada 8.43 juta jawatan, menurun sebanyak 1.5 peratus dari tahun ke tahun.
“Statistik ini menunjukkan bahawa bilangan jawatan masih rendah berbanding sebelum krisis walaupun bilangan kekosongan jawatan meningkat dengan kadar pengisian jawatan suku tahun ini kekal pada 97.9 peratus, bersamaan dengan 8.26 juta jawatan diisi.
“Terdapat sejumlah 17,400 jawatan diwujudkan pada suku tahun ini, meningkat empat peratus membabitkan lebih 669 pewujudan jawatan, berbanding dengan suku tahun sebelumnya iaitu 16,700,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!