Mahkamah Tinggi arah ZICO beri dokumen kepada Zaid Ibrahim

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin membenarkan permohonan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim untuk memperoleh dokumen daripada firma guaman Zaid Ibrahim & Co (ZICO) yang berkaitan dengan samannya terhadap rakan kongsi ZICO.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Mohd Zaid berkata, keputusan itu disampaikan Hakim Datuk Akhtar Tahir secara dalam talian.

Peguam itu berkata, mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya untuk penzahiran pratindakan dengan kos RM3,000.

“Menurut mahkamah, syarat perundangan telah dipenuhi. Oleh itu, mahkamah memerintahkan ZICO menyerahkan dokumen berkenaan dalam tempoh tujuh hari bermula pada Isnin.

‘Bagaimanapun, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang mewakili defendan memohon penangguhan penzahiran dokumen itu sementara menunggu rayuan oleh firma guaman tersebut.

“Permohonan Thomas itu dibenarkan dengan syarat bahawa permohonan rasmi perlu dibuat menjelang 19 Mei,” katanya menerusi pesanan aplikasi WhatsApp.

Defendan adalah Pengerusi Eksekutif firma guaman itu, Datuk Seri Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, bekas rakan pengurusannya Chew Seng Kok dan ZICO.

Pada 20 April lalu, ZICO membantah permohonan penzahiran dokumen oleh Mohd Zaid atas alasan bekas menteri itu tidak berhak terhadap dokumen berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zaid memfailkan permohonan penzahiran dokumen itu daripada Norzrul Thani, Seng Kok dan juga firma itu bagi mendapatkan dokumen yang berkaitan dengan samannya terhadap ZICO pada Disember tahun lalu.

Mohd Zaid memfailkan saman terhadap ZICO pada 24 November tahun lalu bagi menghalang firma itu daripada terus menggunakan namanya dalam amalan guaman dan mengembalikan nama firma tersebut kepadanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!