Tarikh temujanji penerimaan vaksin AstraZeneca dianjak
PUTRAJAYA - Tarikh temujanji penerimaan vaksin keluaran AstraZeneca pada 15 dan 16 Mei ini terpaksa dianjakkan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pindaan itu hanya melibatkan sebilangan kecil temujanji pada tarikh berkenaan.
"Tarikh baharu adalah bermula 17 hingga 23 Mei," katanya dalam sidang akhbar mingguan perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Isnin.
Menurutnya, kapasiti di Pusat Dagangan Dunia (WTC) adalah lebih 9,000 sehari, namun kerana peningkatan kes anjakan tarikh terpaksa dibuat untuk menjamin penjarakan fizikal.
"Pindaan itu melibatkan 2,800 daripada 19,000 penerima vaksin yang dijadualkan menerima suntikan di WTC pada kedua-dua tarikh berkenaan," katanya.
Beliau berkata, perubahan tarikh tersebut akan dimaklumkan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi MySejahtera yang akan dihantar mulai esok kepada penerima yang terlibat.
Khairy berkata, bagi memastikan penjarakan fizikal di WTC dapat ditingkatkan, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah menambah bilangan dewan yang akan digunakan.
"Bermula Rabu ini, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Ismail tidak akan lagi digunakan sebaliknya, tiga dewan yang lebih luas akan dibuka iaitu Dewan Merdeka, Dewan Tun Razak 3 dan Dewan Tun Razak 4," katanya.
Menurutnya, kerajaan sedaya upaya menggunakan sepenuhnya kapasiti di setiap pusat pemberian vaksin (PPV) dalam usaha mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.
Katanya, seramai 60,000 individu diletakkan di bawah senarai menunggu kerana ketiadaan slot.
"Mereka yang telah mendaftar untuk menerima vaksin AstraZeneca dan diletakkan di bawah senarai menunggu, hanya diminta untuk hadir ke PPV setelah dihubungi oleh petugas. Walk-in sama sekali tidak dibenarkan," katanya.
Tambahnya, penerima vaksin dalam senarai menunggu jika dipanggil boleh merujukkan notifikasi MySejahtera kepada anggota keselamatan dalam perjalanan ke PPV di sekatan jalan raya.
Pada perkembangan sama, Khairy berkata, bekalan kedua dan ketiga vaksin AstraZeneca melibatkan 615,120 dos dijangka tiba pada 20 Mei serta 1 Jun depan.
"Bagi bekalan Comirnaty pula, sebanyak 259,740 dos akan diterima negara antara 19 hingga 22 Mei ini.
"Jumlah keseluruhan Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang kita terima dan akan terima dalam masa terdekat adalah 2,490,930 dos," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!