MOF sahkan 1MDB, SRC fail 22 tuntutan sivil

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kementerian Kewangan (MoF) mengesahkan wakil guaman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) telah memfailkan sejumlah 22 tuntutan sivil pada Jumaat.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, enam writ saman difailkan oleh 1MDB, sementara 16 lagi writ oleh SRC untuk pemulangan aset dengan jumlah keseluruhan melebihi RM96.6 bilion.

Menurutnya, jumlah berkenaan termasuk kira-kira RM300 juta tuntutan terhadap pelbagai pihak tempatan.

“Writ yang difailkan oleh 1MDB ini adalah terhadap sembilan entiti (termasuk dua institusi kewangan asing) dan 25 individu atas pelbagai kesalahan termasuk pelanggaran kewajipan kontrak, statutori, ‘common law’ dan fidusiari; pecah amanah frod; konspirasi frod; salah nyata frod; pecah kewajipan dan amanah secara frod; penyembunyian secara frod; penyelewengan secara frod; bantuan tidak jujur dalam penyelewengan dana; kecuaian; penerimaan dengan pengetahuan dan pengkayaan tidak wajar.

“Writ yang difailkan oleh SRC adalah terhadap 15 individu dan lapan entiti atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan kuasa, pelanggaran kewajipan fidusiari di jawatan awam, pecah amanah, konspirasi, bantuan tidak jujur, pelanggaran kewajipan secara frod; penerimaan dengan pengetahuan, salah laku dan penukaran salah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan meneruskan usaha bagi memastikan semua pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kesalahan kepada negara melalui penglibatan mereka dalam 1MDB atau SRC.

"Berikutan kejayaan penyelesaian yang signifikan terhadap Goldman Sachs, AmBank Group dan Deloitte PLT, usaha kerajaan kini difokuskan untuk membawa ke muka pengadilan pesalah laku lain yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa pelaksanaan tugas mereka, sebagai pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan urus niaga 1MDB atau SRC.

“Semua hasil dari usaha pemulangan aset 1MDB termasuk penyelesaian akan datang dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulangan Aset di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Penyelesaian ini tidak menjejas atau mengkompromi tuntutan Malaysia terhadap pesalah laku lain yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC dan mereka akan tetap dihadapkan ke muka pengadilan melalui sistem perundangan jenayah dan sivil,” katanya.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan jenayah pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!