Pelayar asing dibenar berlabuh dengan syarat: Imigresen

Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) membenarkan pelayar asing yang berlabuh di Jeti Marina seluruh negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk berada di Malaysia sehingga 31 Disember dengan syarat khas.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya telah mengadakan satu perbincangan bersama pengusaha dan persatuan marina Malaysia berkaitan keperluan meninggalkan negara ini bagi warga asing yang memegang Pas Lawatan Sosial (PLS).

"Perbincangan berkenaan berkisar mengenai tindakan yang perlu diambil oleh pelayar asing bagi membolehkan mereka terus tinggal dan berlabuh di marina-marina berkaitan selepas 21 April 2021.

"Dalam perkara ini, untuk membantu pelayar asing yang berada di perairan Malaysia dalam tempoh PKP, kita membenarkan mereka untuk terus tinggal di Malaysia sehingga 31 Disember 2021 dengan mendapatkan PLS dari Pejabat Imigresen yang berdekatan.

"Semua permohonan mesti disertakan surat pengesahan dari kedutaan masing-masing dan surat sokongan daripada pengusaha atau pemilik marina di mana mereka berlabuh," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Khairul Dzaimee berkata, setakat 10 Mei terdapat kira-kira 138 pelayar asing yang dikesan oleh Imigresen berlabuh secara sah di sekitar perairan Malaysia.

Namun katanya, terdapat juga dalam kalangan pelayar asing ini yang berlabuh secara haram.

"Mereka yang berlabuh secara haram ini bakal berdepan dengan tindakan undang-undang oleh agensi berkaitan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!