Balu, duda penerima PJM terima RM500
KUALA LUMPUR - Seramai 5,460 balu atau duda penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) akan menerima bayaran RM500 secara one-off dengan anggaran perbelanjaan RM2.73 juta.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, pembayaran itu akan diberikan dengan syarat penerima PJM berkenaan tidak pernah menerima bayaran PJM secara one-off sebelum ini.
Menurutnya, bayaran itu dipersetujui kerajaan dalam Mesyuarat Kabinet pada 21 April lalu bagi menzahirkan penghargaan tinggi terhadap perjuangan warga ATM dalam membebaskan negara daripada ancaman pengganas komunis.
“Pembayaran secara one-off kepada balu atau duda penerima PJM yang telah meninggal dunia ini akan dibuat secara berperingkat sebagaimana pelaksanaan pembayaran secara one-off kepada 121,816 veteran penerima PJM yang masih hidup pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, bayaran peringkat pertama akan dibuat mulai 12 Mei dan dijangka selesai pada 30 Julai.
Dzulkarnain berkata, bagi memastikan pemberian wang tunai secara one-off ini berjalan lancar, balu atau duda penerima PJM perlu memastikan akaun bank berstatus aktif, selain perlu mengemas kini maklumat peribadi seperti alamat dan nombor telefon bagi memudahkan pihak JHEV ATM menghubungi mereka untuk urusan pembayaran.
"Urusan kemas kini maklumat ini boleh dibuat dengan menghubungi pusat panggilan JHEV ATM di talian 03-26976600 atau hadir ke Pejabat JHEV ATM yang terdekat selewat-lewatnya pada 30 Jun nanti untuk tindakan selanjutnya.
"Selain itu, JHEV ATM juga mengambil inisiatif menyediakan kemudahan semakan kelayakan dan kemas kini maklumat balu atau duda bagi penerima PJM veteran ATM tidak berpencen yang meninggal dunia, secara dalam talian di portal https://kemaskinipjm.jhev.gov.my mulai 24 Mei," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!