Kelab penyokong cadang Abdul Puhat, Jamal Nasir CEO Perak FC
IPOH - Kelab Penyokong Bola Sepak Perak (Perak TBG Mobs) mencadangkan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC yang baharu.
Presidennya, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, selain itu, bekas pengurus Perak FA, Datuk Jamal Nasir Rasdi juga boleh dipertimbangkan sebagai calon untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rizal Ali Naizali itu.
Beliau secara peribadi bersimpati dengan Rizal Ali yang mengambil keputusan meletakkan jawatan pada Isnin setelah hampir empat bulan menerajui Perak FC.
"Beliau (Rizal Ali) telah mengambil tugas sebagai CEO Perak FC dalam keadaan sangat getir ketika sumber kewangan yang kita tahu daripada bulan 11 dan 12 tahun lepas hampir kosong.
"Mungkin disebabkan rasa tertekan dengan tindakan penyokong menularkan gambar beliau, memasang kain rentang dan sebagainya menyebabkan keputusan itu dibuat," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Syamsul Baharin berkata, penghargaan perlu diberikan kepada Rizal Ali yang sanggup memikul tanggungjawab ditinggalkan pengurusan sebelum ini untuk memastikan pasukan dapat terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia.
Katanya, amat sukar untuk mencari pengganti CEO Perak FC ketika ini kerana tanggungjawab paling besar adalah mencari dana untuk meneruskan perjalanan kelab selain memastikan gaji pemain dan pengurusan tidak tertunggak dengan kos yang agak besar.
"Pihak penyokong mengharapkan CEO baharu yang akan dilantik oleh pihak pengurusan Perak FC mestilah mempunyai karisma, idea dan sanggup untuk mengambil pasukan seterusnya membawa Perak FC ke mercu kejayaan untuk terus berjuang dalam saingan Liga Super musim ini.
"Perkara paling penting, individu tersebut perlu mempunyai minat yang mendalam terhadap bola sepak Perak," katanya.
Pada Isnin, Rizal Ali mengumumkan peletakan jawatan sebagai CEO Perak FC bagi memberi ruang muka baharu menerajui pengurusan pasukan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: CEO Perak FC letak jawatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!