Waspada penipuan aplikasi palsu MyBNM
KUALA LUMPUR - Polis mengesan sindiket penipuan yang menggunakan aplikasi palsu MyBNM untuk memperdaya mangsa melakukan pemindahan wang tanpa disedari.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, mangsa dalam kes ini akan dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa termasuk daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurutnya, mangsa kemudiannya akan diminta untuk memuat turun aplikasi tersebut yang palsu dan melaluinya, mangsa akan diminta untuk memasukkan butiran peribadi seperti nombor kad mesin juruwang automatik (ATM), nombor pin dan kata laluan.
"Setelah maklumat diperoleh, sindiket akan membuat pindahan wang daripada akaun mangsa ke akaun pihak ketiga (keldai akaun).
"Mangsa hanya sedar ditipu setelah menyedari wang di dalam akaun miliknya berkurang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, berdasarkan rekod, tahun lalu mencatatkan 53 kes dengan kerugian berjumlah RM1.1 juta manakala tahun ini sehingga April, sebanyak 57 kes dilaporkan dengan kerugian mencecah RM1.7 juta.
Tegas Zainuddin, bagi menangani peningkatan kes ini, pihaknya komited untuk melipatgandakan usaha daripada aspek siasatan dan operasi.
"Di pihak masyarakat, kita menyeru agar aspek pencegahan jenayah yang merangkumi ilmu pengetahuan, kewaspadaan dan sebagainya sentiasa dititikberatkan," katanya.
Tambahnya, ada beberapa tips yang boleh digunakan iaitu usah mudah percaya dengan panggilan penguat kuasa yang meminta untuk memuat turun aplikasi MyBNM.
"Jangan klik mana-mana pautan, memuat turun aplikasi mudah alih yang tertera nama MyBNM atau berkongsi apa-apa maklumat perbankan.
"Pastikan membuat semakan pengesahan melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau memuat turun aplikasi SEMAK MULE CCID," katanya.
Jelas beliau, aplikasi MyBNM adalah satu kemudahan dalam talian yang pernah disediakan pihak BNM bermula November 2015. Namun, ia telah ditamatkan oleh pihak BNM pada November tahun lalu dan satu pengumuman juga pernah dikeluarkan oleh pihak terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!