Sultan Selangor seru rakyat rai Aidilfitri secara sederhana

 Sultan Sharafuddin
Sultan Sharafuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru seluruh rakyat agar dapat meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini secara sederhana dan waspada susulan negeri ini masih berada di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi kemaskini di laman Facebook Selangor Royal Office pada Isnin, Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan dengan angka kes jangkitan baharu wabak berkenaan dan jumlah kematian di negeri yang meningkat setiap hari.

Baginda turut berpesan supaya rakyat negeri ini tidak mengambil mudah risiko bahaya wabak berkenaan dan terus peka dengan situasi terkini di lokasi masing-masing.

Menurut hantaran itu lagi, baginda mahu rakyat berkorban untuk tidak meneruskan amalan-amalan lazim hari raya seperti pulang ke kampung dan kunjung mengunjung demi menggelakkan wabak ini terus merebak sehingga sukar dikawal.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut bertitah agar individu yang keluar ke tempat awam dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan khususnya memastikan penjarakan fizikal satu meter dan pemakaian pelitup muka pada setiap masa.

Baginda juga bertitah tidak mahu melihat lebih banyak kematian akibat wabak ini dan menyeru rakyat agar sama-sama membantu pihak berkuasa untuk menghentikan penularan Covid-19.

Pada masa sama, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut berkenan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam khususnya di Selangor dan di Malaysia amnya.

“Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin. Duduk di rumah, jangan berhimpun, berdoa hentikan wabak,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!