Usia 92 tahun masih gigih siapkan tempahan baju raya
KOTA BHARU - Usianya sudah mencecah 92 tahun, namun Che Hamat Che Pa tetap bersemangat menyiapkan tempahan baju raya pelanggannya bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Mesra dipanggil Ayahmat, pengusaha kedai jahit Harison Style itu mengakui dia berasa seakan tidak lengkap sekiranya tidak bersama 'jarum dan benang' dalam kehidupan sehariannya.
Malah, kata Che Hamat, dek kerana terlalu biasa menjahit dalam rutin hariannya, kadang kala dia demam jika ilmu menjahit yang dipelajari daripada arwah sepupunya Wan Ibrahim Che Abdullah itu tidak dipraktikkan sebaik-baiknya.
"Alhamdulillah, saya masih dikurniakan kesihatan yang baik selain tidak mempunyai sebarang penyakit. Cuma dua tahun lalu saya menjalani pembedahan untuk menukar manik di bahagian mata sebelah kiri namun tetap aktif bersama jarum dan benang," katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Kubang Cherang, dekat sini pada Isnin.
Dia yang menceburi bidang jahitan sejak 73 tahun lalu itu mahir menjahit baju melayu dengan kadar upah RM130, jubah lelaki (RM70), jubah perempuan (RM50) manakala baju kurung antara RM45 dan RM50.
"Arwah sepupu, Wan Ibrahim berpengalaman menjahit di Singapura dan Mesir malah pelanggannya juga terdiri daripada kerabat diraja," katanya sambil memberitahu nama kedainya juga adalah bersempena nama anak ketiganya.
Walaupun kedai jahitnya kini beroperasi di rumahnya sejak 2019 serta agak jauh dari jalan utama, dia masih menerima tempahan daripada pelanggan tetapnya yang terdiri daripada penduduk setempat dan dari pelbagai daerah antaranya Kota Bharu dan Pasir Mas.
Bercerita lanjut, Che Hamat berkata, sebelum ini, dia dibantu 10 pekerja dan isterinya, Zawahir Abdullah, 60, namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pelanggan tidak dapat datang ke kedainya sehingga menyukarkan proses mengukur baju disebabkan larangan merentas daerah.
"Memandangkan PKP dilaksanakan semula susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di negeri ini, saya hanya menerima tempahan 30 pasang baju raya tahun ini berbanding lebih 100 pasang untuk raya tahun lalu.
"Namun ada sisi bagusnya, kerana saya mempunyai lebih banyak masa terluang dengan keluarga sekarang dan dalam sehari cukup hanya menjahit satu atau dua pasang sahaja berbanding sebelum ini sehingga tidak menang tangan," katanya yang mempunyai lima anak, 20 cucu serta 20 cicit. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!