'Tak sakit pun, jangan terpengaruh berita palsu vaksin'

Rata-rata warga emas yang berjaya melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 menasihatkan golongan mereka agar tidak takut dan bimbang untuk menerima vaksin.
Rata-rata warga emas yang berjaya melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 menasihatkan golongan mereka agar tidak takut dan bimbang untuk menerima vaksin.
A
A
A

KANGAR - Rata-rata warga emas yang berjaya melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di negeri ini pada Isnin menasihatkan golongan itu agar tidak takut dan bimbang untuk menerima vaksin.

Mereka juga berharap agar orang ramai terutamanya warga emas tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu yang tular menerusi media sosial yang mendakwa suntikan kedua vaksin bermasalah sehingga menyebabkan komplikasi kepada penerima.

Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam kenyataan sebelum ini menyifatkan bahawa kenyataan itu tidak benar dan menyaran orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat sedemikian yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Shukor Shamsuddin, 74, dari Taman Guru Jaya mengajak orang ramai agar segera mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 kerana vaksin yang diberikan adalah selamat.

Malah bekas Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis itu yang merupakan antara 1,000 warga emas yang menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan 2020 di sini pada Isnin berkata, beliau tidak merasa sakit semasa atau selepas menerima kedua-dua dos suntikan.

Bekas pemain bola sepak Perlis, Salim Muhamad, 72, turut merayu agar orang ramai tidak terpengaruh dengan berita palsu dan segera mendaftar kerana ia bukan hanya melindungi diri malah turut sama membantu orang lain dalam membentuk imuniti kelompok.

Bekas pemandu lori Suban@Ani Hassan, 73, dari Nesam, Bintong pula berkata: “Pada pemikiran saya, kalau tidak membuat suntikan, lebih mudah terkena Covid-19, dan jika disahkan positif penyakit itu, ia bukan sahaja mengancam nyawa sendiri, tetapi juga nyawa ahli keluarga, jiran tetangga serta masyarakat umumnya”. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!