Kes Covid-19 di Pahang dijangka meningkat
KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menjangkakan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini mencapai 90 hingga 100 kes sehari atau 600 hingga 700 kes seminggu pada awal Jun sekiranya masyarakat mengambil mudah aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Pengarah JKNP, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah berkata, situasi itu juga berdasarkan perkembangan semasa peningkatan kes jangkitan yang konsisten bermula pertengahan Mac hingga kini.
Menurutnya, pada awal Mac purata jangkitan 10 hingga 20 kes sehari, namun kini meningkat kepada 70 kes.
"Peningkatan kes amat ketara di daerah Kuantan, Bentong dan Raub.
"Sekiranya berlaku peningkatan sepertimana jangkaan pada Jun, jumlah pesakit aktif di Pahang akan mencecah ke angka 1,700.
"Angka itu membimbangkan kerana ia melebihi kapasiti katil di wad hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.
Dr Bahari berkata, peningkatan pesakit kategori empat dan lima juga meningkat dua peratus kepada 3.8 peratus ketika ini.
"Jumlah kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU) bertambah tiga kali ganda pada kadar biasa.
"Jika keadaan ini berterusan, kita bimbang jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan penjagaan rapi di ICU melebihi keupayaan hospital di Pahang ini," katanya.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan supaya akur dan patuh kepada SOP ditetapkan terutama pada perayaan Aidilfitri ini bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!