Pelajar ke IPTS, program kemahiran turun mendadak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memandang serius trend penurunan mendadak jumlah kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Kementerian Sumber Manusia di Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS).

Pengerusi Gabungan Institut Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB), Nordin Abdul Malek berkata walaupun trend tersebut mula terlihat pada 2016, namun penurunan ketara berlaku pada 2018 dan dijangka semakin menurun tahun ini.

“Bagi sektor IPTS, kejatuhan julmlah kemasukan pelajar tempatan dan luar negara, masing-masing mengalami penurunan sebanyak 32 peratus dan 40 peratus tahun lalu.

“Bilangan pelatih ILKS pula turun hampir 30 peratus iaitu daripada 30,160 pelajar pada 2017 kepada 21,729 orang pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ia bukan sahaja memberi kesan kepada IPTS termasuk yang bertaraf universiti dan kolej universiti tetapi juga memberi impak kepada akses pendidikan rakyat tempatan dan kesan ekonomi kepada negara.

Nordin berkata antara punca penurunan adalah isu permit kemasukan dan pengurusan berkaitan di peringkat Kementerian Dalam Negeri dan kurangnya daya penarik dan daya saing.

Manakala penurunan pelajar tempatan pula disebabkan tiga isu utama iaitu kegagalan pelajar memenuhi syarat SPM (gagal mata pelajaran Sejarah), pengurangan kadar pembiayaan PTPTN dan masalah birokrasi di peringkat pentadbiran kerajaan yang melibatkan pengurusan IPTS.

Nordin turut menggesa kerajaan, menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), mengadakan perbincangan mengenai isu-isu yang membelenggu IPTS dan ILKS.

Artikel Berkaitan:

Antara yang dicadangkan ialah menyediakan pelan hala tuju yang jelas konsep perkongsian awam dan swasta bagi IPTS dan ILKS supaya tidak bertindan dengan institusi pengajian awam, selain memperkemas struktur pentadbiran dan akreditasi supaya IPTS dan ILKS boleh berperanan sebagai produk ekonomi di peringkat antarabangsa.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!