USM tangguh Konvokesyen Ke-58
GEORGETOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil keputusan untuk menangguhkan upacara Konvokesyen Ke-58 yang dijadualkan pada 8 hingga 16 Jun ini kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Naib canselornya, Profesor Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, penangguhan tersebut dibuat selepas USM mengambil kira peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, selain itu, USM juga mengambil maklum mengenai pengumuman kerajaan untuk melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara berkuatkuasa 12 Mei hingga 7 Jun nanti.
"Setelah mengambil kira kesemua faktor risiko dan penilaian menyeluruh meliputi keselamatan dan kesejahteraan graduan, warga universiti serta masyarakat amnya.
"Selain itu, universiti juga telah mendapat perkenan Tuanku Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
"Upacara tersebut yang dijadualkan pada 8 hingga 16 Jun ini akan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak apabila keadaan mengizinkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, keputusan itu dibuat atas faktor kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan semua pihak terbabit selain pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Segala kesulitan yang berbangkit akibat daripada penangguhan ini terutamanya yang berkaitan dengan persiapan dan perancangan awal yang telah dilakukan oleh graduan adalah amat dikesali.
"USM amat menghargai keprihatinan, kefahaman dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak yang terbabit. Para graduan diminta melayari laman web rasmi https://convo.usm.my dari masa ke masa untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini berhubung upacara Konvokesyen Ke-58 USM," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!