PKP: Agong nasihat rakyat duduk rumah

Al-Sultan Abdullah
Al-Sultan Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa menasihati rakyat agar berada di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan mendesak susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula Rabu hingga 7 Jun depan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda bertitah tindakan itu akan membantu petugas barisan hadapan mengekang rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini dengan lebih berkesan.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda turut mengulangi titah nasihat baginda baru-baru ini supaya rakyat mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga dengan sentiasa berdisiplin mematuhi larangan-larangan dan arahan-arahan terkini yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Titah nasihat Al-Sultan Abdullah itu adalah bagi mengelakkan negara ini dibadai tsunami Covid-19 seperti yang dialami oleh beberapa negara di Asia Selatan dan Eropah," kata Ahmad Fadil dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara pada Selasa.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat bahawa mereka dilarang sama sekali melakukan pergerakan rentas negeri dan daerah mengikut keputusan MKN dan Kementerian Kesihatan yang mana perkara itu selaras dengan prinsip menjaga kemaslahatan ummah dan hifzu an-nafs.

Yang di-Pertuan Agong juga amat memahami keluh-kesah rakyat di peringkat akar umbi yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19 dan sehubungan dengan itu, baginda menzahirkan harapan agar masalah dan kelangsungan hidup rakyat ditangani serta dipelihara oleh kerajaan dan semua pihak yang bertanggungjawab.

"Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kebimbangan dengan situasi terkini wabak Covid-19 yang masih tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan mendadak sejak kes positif harian dicatatkan mencecah 4,000 kes di negara ini sejak minggu lalu.

"Oleh hal yang demikian, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat melipatgandakan lagi usaha yang sedang dan akan dilakukan untuk melandaikan kes positif harian wabak ini yang telah memberikan kesan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Fadil berkata, baginda turut menyeru semua pihak agar mengetepikan perbezaan dan kepentingan diri masing-masing untuk bersama-sama berganding bahu membantu kerajaan serta para petugas barisan hadapan menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan usaha-usaha memerangi wabak tersebut.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama padu dan komitmen tinggi daripada semua pihak, negara mampu melandaikan penularan jangkitan Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang dicintai.

"Mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini dan menjelangnya sambutan Hari Raya Aidilfitri, Seri Paduka Baginda dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama baginda berdua mendoakan semoga negara sentiasa diberkati dan dilindungi serta ancaman wabak Covid-19 ini dapat diakhiri dengan segera," kata Ahmad Fadil. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!