Bekas ADUN Kajang meninggal dunia
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Kim Sin atau dikenali Cikgu Lee meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 66 tahun, pagi Selasa.
Perkhabaran duka itu dikongsikan oleh anaknya, Lee Teng menerusi Facebook mendiang kira-kira empat jam yang lalu.
"Untuk makluman semua, ayah saya mengalami serangan jantung dan meninggal dunia pagi ini - Lee Teng," memetik perkongsian di Facebook berkenaan.
Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang menerusi ciapan di Twitternya.
"Sayu menerima berita sedih bahawa bekas ADUN Kajang, Cikgu Lee Kim Sin telah meninggal dunia pagi tadi akibat serangan jantung. Saya doakan keluarga Cikgu Lee diberi kekuatan dan ketabahan saat ini," tulisnya.
Kim Sin menjadi ADUN Kajang di bawah tiket PKR selama satu penggal selepas mengalahkan calon MCA, Datin Paduka Low Lee Leng dengan majoriti 3,268 undi pada tahun 2008 semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
Beliau yang berasal dari Merbok, Kedah, terkenal sebagai Tokoh Budaya dan Warisan Kajang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!