Pandu lawan arus: Pemilik kereta tampil beri keterangan
KUALA SELANGOR - Polis selesai merakam percakapan seorang wanita berhubung kejadian tular Proton Wira Aeroback yang memandu secara melawan arus di Kilometer 47.8 Jalan Klang - Teluk Intan di Jambatan Kuala Selangor, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, hasil maklumat mendapati, wanita tersebut telah menjual kenderaan terbabit kepada kenalannya pada tahun 2004.
"Pemilik asal mendakwa, pembeli tidak menukar nama pada kenderaan berkenaan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Kuala Selangor - Kuala Lumpur berdekatan Ladang Tuan Mee di sini pada Selasa.
Bagaimanapun, katanya, beliau percaya pemilik kenderaan terbabit masih berada di sekitar daerah Kuala Selangor.
"Saya telah mengarahkan semua anggota di lapangan termasuk kereta peronda polis ( MPV) mengesan kenderaan terbabit kerana ia mendatangkan mudarat kepada pengguna jalan raya lain," katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, polis sedang mengesan seorang pemandu kereta Proton Wira Aeroback yang memandu secara melawan arus di Kilometer 47.8 Jalan Klang - Teluk Intan di Jambatan Kuala Selangor, di sini pada Ahad.
Ramli berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan masih dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!