Lelaki didenda RM3,000, langgar motosikal polis bertugas
KUALA LUMPUR - Seorang pengurus kewangan syarikat swasta didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis dengan cara melanggar motosikal yang dinaikinya semasa anggota itu menjalankan tugas.
Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Chay Jee How, 27, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.
Lelaki itu didakwa telah menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap Lans Koperal Mohamad Hyder Umer, 31, dengan cara melanggar motosikal yang dinaiki mangsa menggunakan sebuah kereta yang dipandu tertuduh.
Dia melakukan perbuatan itu di Jalan Pahang menghala ke Bulatan Pahang di sini, pada 2 pagi, 14 Jan lepas dan didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hajar Hamzah memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Izzat Amir Saharudin merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga serta menyesal dengan perbuatannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!