UMNO tak akan mati:Mohd Puad
JOHOR BAHRU - UMNO tidak akan mati, sebaliknya akan terus kekal hidup dan disokong rakyat jika majoriti ahli serta pemimpinnya istiqamah dengan perjuangan parti itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, hayat UMNO bergantung kepada perjuangannya dan beliau percaya jika perjuangan itu masih wujud, UMNO akan terus kekal relevan.
“Hari ini (Selasa) UMNO menyambut jubli intan kerana genap berusia 75 tahun, satu usia yang panjang. Tun M (Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad) lebih tua daripada UMNO.
“Apa pun, manusia tidak kira muda atau tua dia akan mati jika ajalnya sampai. Dia akan masuk kubur dan ditalkinkan. (Tapi) UMNO tidak akan mati kerana faktor lain. Buatlah apa sahaja, perjuangannya adalah nyawanya.
“Kalau yang berjuang jadi minoriti, UMNO akan mati. Sebab itu apabila UMNO diharamkan, ia tidak mati. Apabila UMNO terbelah dua (team A dan team B), UMNO tidak mati. Hatta bila UMNO hilang kuasa, ia juga tidak mati,” katanya dalam satu kenyataan di facebook rasminya pada Selasa.
Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu berkata, berbanding parti lain seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berpecah apabila dalam tempoh 22 bulan, serpihannya membentuk parti Pejuang.
"Bersatu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula hilang kuasa di Johor, Melaka, Perak dan Kedah dan hanya bergantung kepada kuasa di peringkat pusat, malah parti serpihan UMNO itu juga tidak sempat membina ‘akar umbi’.
“Ia bukan parti yang lahir kerana perjuangan, sebab itu Bersatu ‘tadah’ katak yang melompat masuk,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!