Moratorium pinjaman menyeluruh bukan penyelesaian terbaik

 Nor Shamsiah
Nor Shamsiah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Moratorium pinjaman menyeluruh mungkin bukan penyelesaian terbaik bagi peminjam berikutan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, sebaliknya peminjam harus berunding dengan pihak bank untuk membantu memenuhi obligasi hutang mereka, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, semua bank sudah mempunyai pelan bantuan pembayaran mereka termasuk moratorium pinjaman bersasar, ia dapat ditawarkan kepada peminjam yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan mereka berkurangan.

"Peminjam juga dapat menggunakan pelbagai saluran yang disediakan termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), BNM, sekiranya mereka memerlukan nasihat atau bantuan lebih lanjut.

"Apa yang lebih penting, peminjam akan mendapatkan bantuan yang mencerminkan keadaan kewangan mereka yang spesifik supaya mereka tidak akan menanggung lebih banyak kos atau hutang daripada yang diperlukan.

"Oleh itu, moratorium pinjaman, mungkin bukan penyelesaian terbaik untuk semua peminjam," katanya kepada akhbar selepas pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2021 Malaysia pada Selasa.

Nor Shamsiah berkata, demikian bagi menjawab soalan sama ada BNM akan mempertimbangkan untuk melaksanakan moratorium sekali lagi selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 bermula 12 Mei hingga 7 Jun susulan peningkatan jumlah kes harian Covid-19.

Katanya, walaupun PKP dilanjutkan namun hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tidak seperti PKP yang dilaksanakan pada tahun 2020.

Beliau menggesa peminjam untuk berhubung dengan pihak bank supaya bank dapat mendapatkan bantuan dan nasihat yang tepat, sesuai dengan keadaan mereka dan demi kepentingan mereka.

Artikel Berkaitan:

Setakat 21 Mac tahun ini, bank telah membantu 1.7 juta pemohon bagi bantuan pembayaran dan kadar kelulusan adalah pada 95 peratus.

Menurutnya, BNM dan AKPK juga telah memberi sokongan kepada lebih daripada 47,000 peminjam untuk menolong mereka memenuhi obligasi hutang mereka dengan bank.

"Sumber kami akan terus digunakan untuk membantu peminjam pada sepanjang tempoh yang mencabar ini,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam tidak akan terjejas oleh bantuan berkenaan tahun ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!