Samun di lif MRT: Suspek cukur rambut elak dikesan
KUALA LUMPUR - Suspek kes pukul dan samun seorang wanita di dalam lif di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras pada Khamis lalu ditahan polis ketika sedang mencukur rambutnya bagi mengubah identiti diri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek warga tempatan berusia 26 tahun ditangkap di sebuah flat Taman Cheras pada pukul 8.10 malam.
Menurutnya, dalam serbuan tersebut, suspek dilihat sedang mencukur rambutnya bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Hasil risikan, suspek bertindak licik dengan tidak keluar dari rumah dan tidak menyalakan lampu setiap kali melakukan jenayah.
"Suspek juga melakukan jenayah berseorangan sejak tahun 2014 namun kita sedang memeriksa sekiranya terdapat rakan suspek yang terlibat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mazlan berkata, suspek yang bekerja sebagai penyelenggara penghawa dingin tinggal berseorangan di rumah berkenaan.
"Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam lapan kejadian ragut, samun dan pecah pejabat di sekitar Cheras.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod iaitu mendatangkan kecederaan dengan senjata, samun berkawan, memiliki dadah dan memasukkan dadah ke tubuh sendiri.
"Ujian saringan awal air kencing pula mendapati suspek positif dadah jenis ekstasi dan syabu. Kita juga sedang menyemak sekiranya suspek positif dadah ketika menyamun wanita berkenaan.
“Polis tidak menolak kemungkinan suspek merupakan ahli kongsi gelap," katanya.
Mazlan menambah, serbuan tersebut telah berjaya menemukan pakaian yang digunakan suspek ketika menyamun wanita di lif MRT Taman Mutiara.
"Kita juga telah merampas 19 buah telefon pelbagai jenama, beberapa keping kad bank dan Touch n Go serta sebuah motosikal jenis Modenas Kriss milik suspek.
"Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin depan dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan ketika menyamun,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Wanita trauma dibelasah disamun
RM10,000 ganjaran tangkap suspek belasah dalam lif MRT
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!