Demi amanat ibu, pemuda berhenti kerja jaga abang terlantar
KOTA BHARU – Seorang adik lelaki sanggup melupakan dunia remajanya demi menjaga abang sulung yang terlantar akibat demam panas sejak setahun dilahirkan.
Membawa amanah dan pesanan arwah ibunya, Mohammad Zuasraf Zulkifli, 25, tabah menjaga abangnya, Mohd Khairul Anuar, 33, atau lebih mesra disapa abang long yang kini terlantar dan perlu diuruskan sepenuhnya oleh beliau dan bapanya.
“Saya berhenti kerja tiga tahun lepas selepas arwah ibu meninggal demi menjaga abang long sebab arwah ibu pesan suruh saya jaga dia memandangkan adik-beradik lain pun ada komitmen masing-masing.
“Kini saya, abang saya dan abah menjaga abang long di rumah. Semasa mereka keluar bekerja, sayalah sepenuh masa jaga dia. Masak pun kami bergilir-gilir. Ayah kerja kampung saja,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Padang Mokan, Peringat di sini pada Selasa.
Mohammad Zuasraf menerima kunjungan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan melalui Program Yadim Peduli: Bantuan Ramadan/ Aidilfitri yang turut mendapat kerjasama daripada CIMB Bank.
Hadir sama, Pengarah Yadim Kelantan, Mahadi Awang.
Bercerita lanjut, Mohammad Zuasraf memberitahu, abang sulungnya itu tidak banyak kerenah dan mudah diuruskan walaupun dalam keadaan terlantar.
“Dia akan merengek jika ada di antara anak-anak saudara yang datang ke rumah ini kacau tempat rehat dia. Memang kami selalu mengusik dia. Jadual harian kami mudah saja, selepas makan dan mandi, saya akan dukung abang long keluar rumah untuk ambil angin. Dia suka tengok persekitaran rumah, tenang,” katanya.
Ketika ditanya mengenai zaman remajanya yang tidak seperti orang lain, anak kelima daripada enam beradik ini berkata, apa yang berlaku sudah menjadi ketentuan ALLAH dan beliau reda menerima hakikat tersebut bagi membantu bapanya menjaga abang long.
"Kadang-kala ada juga terfikir, ada ke perempuan yang sanggup sehidup semati dengan saya untuk sama-sama jaga abang long. Semua ini ketentuan ALLAH, saya terima seadanya,” katanya.
Bergantung harap pada bapa dan abang yang bekerja sebagai penebang pokok dengan gaji yang tidak seberapa, mereka hidup serba kekurangan namun masih mengutamakan keperluan Mohd Khairul Anuar.
Dengan bantuan sebanyak RM350 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat membolehkan mereka membeli barangan keperluan Mohd Khairul Anuar terutamanya susu dan lampin pakai buang.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 03114-29-00020228-5 atas nama Zulkifli Ismail atau hubungi Mohammad Zuasraf di talian 013-5993976.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!