Youtuber ditahan keluar perkataan lucah kritik kerajaan
IPOH - Polis Perak mengesahkan penahanan seorang Youtuber, Apit Wan Lebor malam Isnin susulan rakaman video bertajuk 'perutusan PKP kome' di Facebook yang tular.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, penahan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah selepas individu tersebut hadir memberikan keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memulakan penghantaran dengan niat mengganggu orang lain dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana menghina.
"Individu tersebut mengeluarkan video berunsur lucah dan menggunakan perkataan berbaur lucah di dalam video tersebut selain mengkritik kerajaan.
"Kita akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya. Kalau ada kes, kita akan tuduh di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Plaza Tol Ipoh Utara arah selatan di sini pada Selasa.
Dua hari lalu, video berkenaan tular di media sosial dengan kandungan mengkritik pelaksanaan PKP oleh kerajaan.
Apit Wan Lebo sebelum ini dikenali dengan video jenaka sindiran dalam loghat Perak.
Sementara itu, mengenai dakwaan tular kononnya seorang pelayan pelanggan (GRO) yang bekerja di pusat hiburan Jalan Canning Estate di Ipoh, menjadi punca penularan wabak Covid-19 sehingga wujudnya Kluster Jalan Canning Estate, beliau menafikan perkara tersebut.
Menurutnya, hasil siasatan yang dilakukan mendapati laporan yang tular tidak tepat kerana wanita yang dimaksudkan tidak bekerja di pusat hiburan tersebut.
"Wanita warganegara China itu mempunyai pasport yang sah dan menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua. Wanita tersebut memang bekerjaya tetapi tidak pernah ke pusat hiburan tersebut sebaliknya pulang ke rumahnya di Ipoh.
"Jadi saya tak tahu bagaimana timbul cerita wanita ini ke pusat hiburan dan mencetuskan kluster Canning Estate sedangkan perkara itu tidak benar," katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak polis menjalankan beberapa pemeriksaan dan tindakan juga diambil ke atas orang ramai yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!