Bekas atlet Olimpik negara, Asir Victor meninggal dunia
KUALA LUMPUR - Bekas pelari 400 meter Olimpik negara, Datuk Asirvatham Victor meninggal dunia pada Selasa di usia 81 tahun selepas mengalami sesak nafas.
Presiden Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF), Datuk S M Muthu berkata, atlet olahraga kelahiran Ipoh itu yang mempunyai sejarah penyakit jantung, dibawa ke Hospital Pakar KPJ Ipoh selepas mengalami kesukaran bernafas sebelum meninggal dunia di situ.
“Mendiang ada sejarah masalah jantung dan pagi tadi mendiang mengalami kesukaran bernafas sebelum dikejarkan ke hospital,” katanya.
Menurut Muthu, mendiang sebelum ini menjalani pembedahan pintasan jantung dan mengalami beberapa komplikasi serta dimasukkan ke hospital.
Sementara itu adik ipar mendiang, Anthony Thomas, 57, berkata, mayat mendiang dibawa ke rumah adik perempuannya di Jalan Wayang, Buntong di Ipoh untuk penghormatan terakhir.
“Mendiang akan disemadikan di Tambun Catholic Cemetery esok,” katanya.
Menurut Anthony, mendiang yang lazimnya seorang yang ceria dalam kalangan keluarga dan rakan, berubah menjadi agak pendiam selepas menjalani pembedahan itu.
Asir Victor yang memulakan karier sebagai pelari selepas peristiwa beliau mengejar juara pelari pecut sekolah yang mengambil kotak penselnya pada 1948, menyertai acara pecut 400m dalam tiga Sukan Olimpik iaitu Tokyo (1964), Mexico (1968) dan Munich (1972).
Antara pencapaian lain mendiang ialah memenangi 14 pingat emas dalam Sukan SEA bagi bagi acara 400m dan 4x400m serta mewakili negara pada Sukan Komanwel 1962 dan 1966, selain turut berjaya membawa pulang empat pingat perak daripada temasya Sukan Asia 1962, 1966, 1970 dan 1974. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!