Kementerian tetapkan SOP baharu rumah ibadat bukan Islam
PUTRAJAYA - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi rumah ibadat bukan Islam susulan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa esok hingga 7 Jun ini.
KPN dalam kenyataan memaklumkan SOP berkenaan adalah pindaan terhadap SOP Pembukaan Rumah Ibadat Selain Islam sedia ada yang diluluskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal KPN bersama Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa.
Menurut KPN, pindaan adalah melibatkan bilangan kehadiran penganut adalah tidak melebih 50 orang bagi rumah ibadat yang boleh memuatkan lebih 1,000 penganut manakala 20 orang bagi rumah ibadat yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 penganut.
“Tempoh waktu sembahyang di rumah ibadat bukan Islam adalah dari jam 6 pagi hingga 2 petang dan 4 petang hingga 10 malam,” menurut kenyataan itu.
Badan pengurusan rumah ibadat turut diingatkan untuk menjalankan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum dan selepas aktiviti sembahyang diadakan.
Menurut KPN, Pegawai Perpaduan yang dilantik sebagai Pegawai Pemantau di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan melakukan pemantauan SOP.
KPN turut memetik peringatan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang mahu semua badan pengurusan dan penganut rumah ibadat bukan Islam mematuhi SOP selain menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan memastikan penjarakan fizikal diamalkan bagi memutuskan rantaian Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!