7 pelajar sekolah maut ditembak di Rusia
MOSCOW - Sekurang-kurangnya tujuh orang maut yang kebanyakannya pelajar sekolah dalam insiden tembakan di sekolah menengah di bandar Kazan di tengah Rusia, kata pegawai dan laporan agensi berita.
Pegawai berkata, sekurang-kurangnya seorang lelaki bersenjata terbabit dan telah ditahan, walaupun ada laporan yang belum disahkan mengenai dua penyerang terbabit termasuk salah seorang daripadanya terbunuh.
Seorang jurucakap polis berkata, pegawainya dikejarkan ke School No 175 di Kazan di ibu kota Tatarstan selepas menerima laporan tembakan dilepaskan.
Rakaman video amatur di media sosial menunjukkan orang ramai melarikan diri dari sekolah dengan terjun dari tingkap di tingkat dua dan tingkat tiga serta kedengaran bunyi tembakan di halaman sekolah.
Jawatankuasa Anti Keganasan Kebangsaan berkata, tujuh pelajar sekolah maut manakala 16 orang cedera.
Datuk Bandar Kazan pula berkata, lapan orang maut, sementara agensi berita Rusia memetik sumber rasmi berkata, 11 orang maut.
Jawatankuasa Penyiasatan yang menyiasat jenayah utama di Rusia berkata, seorang penduduk tempatan yang dilahirkan pada tahun 2001 telah ditahan berhubung serangan berkenaan.
Sehubungan itu, Presiden Rusia Vladimir Putin menggesa supaya undang-undang senjata api diteliti semula susulan insiden tembakan tersebut sementara pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan hari berkabung pada Rabu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!