Tiada sebab munasabah tidak dibenarkan berparlimen: Che Asmah

Che Asmah Ibrahim
Che Asmah Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada sebab yang munasabah untuk tidak membenarkan Parlimen bersidang dalam musim pandemik Covid-19.

Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, Parlimen merupakan satu komponen penting dalam pentadbiran negara kerana Malaysia bergerak dengan sistem Eksekutif, Parlimen dan Kehakiman.

“Eksekutif telah dibuka, Kehakiman berjalan seperti biasa tetapi kalau tiada Parlimen untuk melakukan tugas tanggungjawab ini, maka pentadbiran kerajaan pada tahun ini berada di tahap pincang.

“Ini kerana kita tahu bahawa Parlimen ini tugas dia adalah meluluskan undang-undang, membuat pindaan di samping itu untuk meluluskan perbelanjaan,” katanya pada Wacana Sinar Harian Siri ke 225 bertajuk Parlimen Ditutup, Banyak Isu Rakyat Terpinggir? pada Selasa.

Program tersebut turut disertai Exco Armada Selangor, Khidir Jamil dan Koordinator Penyelidik Research For Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid.

Che Asmah berkata, Parlimen diwujudkan untuk membincangkan isu-isu rakyat lebih-lebih lagi dalam musim pandemik Covid-19 untuk membolehkan masalah rakyat didengari, diperhalusi dan diselesaikan dan apabila Parlimen tidak dibuka, kerajaan telah melanggar prinsip demokrasi itu sendiri.

Pada masa sama, katanya, apabila kerajaan membuka semula Parlimen, perkara yang menjadi persoalan bagi semua rakyat iaitu berkaitan perincian perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

“Bajet 2021 yang diluluskan sebanyak RM322.5 bilion, RM300 bilion yang telah diluluskan ketika Ordinan Darurat dan RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Artikel Berkaitan:

“Kita nak tahu bagaimana perincian perbelanjaan itu dibuat, dan itu soalan pertama saya nak tanya dari segi perbelanjaan dan pada kami ini perkara penting kerana fungsi Parlimen itu adalah meluluskan perbelanjaan, dan ketika bajet tersebut diumumkan pelbagai insentif yang disebut, jadi kita nak tahu dah capai sasaran ke tidak?

“Jadi di mana bantuan-bantuan? Berapa peratus yang telah disalurkan dan berapa peratus yang telah mencapai objektifnya? Dan adakah bantuan yang disalurkan itu menepati sasaran yang hendak dicapai,” ujarnya.

Sementara itu, Che Asmah berkata, rakyat dapat melihat pentadbiran kucar-kacir dalam membuat keputusan ketika pandemik Covid-19.

“Ini menunjukkan bahawa tanpa pelaksanaan semak dan imbang dalam sistem pentadbiran pada hari ini memang berterabur dan kucar-kacirlah,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan perlu telus dan perlu menghadap orang ramai kerana ini bukan zamannya mereka boleh buat apa sahaja dan merasakan itu yang terbaik untuk rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!