Haiti tahan lima rakyat AS
PORT AU PRINCE - HAITI. Tujuh rakyat asing dipercayai tentera upahan termasuk lima warga Amerika Syarikat (AS) ditahan pihak berkuasa Haiti kerana memiliki pelbagai senjata berat, di tengah-tengah keganasan dan ketidaktentuan politik di ibu negara, Port-au-Prince.
Akhbar Le Nouvelliste semalam melaporkan, kesemua suspek termasuk seorang lelaki tempatan ditahan ketika menaiki dua buah kenderaan tanpa lesen pada Ahad.
Pemeriksaan lanjut mendapati mereka dilengkapi senjata gred tentera, malah turut memiliki beberapa dron.
Kumpulan itu turut membawa telefon satelit.
Difahamkan, kesemua suspek bakal didakwa atas tuduhan konspirasi.
Sementara itu, Jabatan Negara AS mengesahkan penahanan tersebut.
Seorang pegawai di jabatan itu, yang meminta untuk tidak dinamakan berkata pada Isnin, bahawa rakyat AS ditahan berhak mendapatkan bantuan konsular yang sesuai.
Media lain mengenal pasti dua lagi rakyat asing sebagai sebagai warga Serbia dan Rusia.
Sejak awal bulan ini, penunjuk perasaan mengadakan protes anti-kerajaan di seluruh negara mendesak pengunduran Presiden Jovenel Moise atas dakwaan rasuah. - Press TV
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!