Dasar SOP perlu dinilai semula supaya rakyat mudah faham
SHAH ALAM - Ahli Parlimen perlu melihat dan mengkaji semula dasar yang telah diputuskan agar semua dasar tersebut dapat disampaikan kepada rakyat secara ringkas dan berkesan menerusi pembukaan Parlimen.
Koordinator Penyelidik Research For Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid berkata, dasar prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan perlu dinilai semula supaya rakyat mudah faham dan tidak keliru dengan keputusan kerajaan.
“Apa yang kita lihat pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, kita berjaya tetapi selepas PKP 2.0 terdapat satu kontradiksi yang banyak dari segi SOP, sekejap sekolah dibuka, sekejap sekolah ditutup.
“Jadi saya fikir perkara yang diperhalusi ini perlu diambil tahu dari segi pelaksanaan SOP yang baik dan tidak mengulangi kesilapan yang sama,” katanya pada Wacana Sinar Harian Siri ke 225 bertajuk Parlimen Ditutup, Banyak Isu Rakyat Terpinggir? pada Selasa.
Program tersebut turut disertai Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dan Exco Armada Selangor, Khidir Jamil.
Tambah beliau, kerajaan dan pembangkang perlu meneliti semua perkara dalam memastikan pengekangan penularan pandemik Covid-19 dilakukan secara bersama.
Sementara itu, Fakhrurrazi berkata, nyawa dan kebajikan rakyat perlu menjadi keutamaan kepada kerajaan dan pembangkang.
“Jadi saya fikir sebagai sebuah kerajaan, pelaksanaan SOP merangkumi semua pihak, dia tidak boleh sikit rasa sakit, sikit rasa bagus.
“Sebab kita nak letakkan keadilan dan kita perlukan pakar yang berdasarkan sains untuk melihat semua perkara, jadi saya agak kurang bersetuju untuk meletakkan satu naratif yang mengatakan ada perkara yang dibuat kerajaan ini tidak semua berpuas hati.
“Persoalan yang paling besar, semua pihak B40, T20 dan M40 ini dapat mematuhi SOP, ini yang paling penting,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!