Keluarga berpendapatan rendah perlu bantuan kewangan enam bulan

Sebanyak 70.5 peratus daripada keluarga berpendapatan rendah mengatakan bahawa mereka sangat memerlukan bantuan jangka pendek dalam masa enam bulan akan datang. - Foto UNICEF dan UNFPA
Sebanyak 70.5 peratus daripada keluarga berpendapatan rendah mengatakan bahawa mereka sangat memerlukan bantuan jangka pendek dalam masa enam bulan akan datang. - Foto UNICEF dan UNFPA
A
A
A

SHAH ALAM - Keluarga berpendapatan rendah memerlukan bantuan kewangan berterusan selama enam bulan bagi mengurangkan beban kemiskinan yang ditanggung oleh kumpulan tersebut ketika krisis pandemik Covid-19.

Itu merupakan antara dapatan daripada Siri Keempat Kajian Keluarga di Pinggiran oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).

Menurut laporan tersebut, majoriti keluarga berpendapatan rendah yang terlibat dalam kajian itu mengatakan mereka sangat memerlukan bantuan kewangan jangka pendek yang mapan dan berkala.

“70.5 peratus daripada responden mengatakan bahawa mereka sangat memerlukan bantuan jangka pendek dalam masa enam bulan akan datang.

“Selain itu, satu daripada dua keluarga merasakan sokongan kewangan untuk keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak orang kurang upaya dan orang tua adalah tindakan dasar yang paling relevan dalam menangani krisis ini.

“Sementara itu, 32 peratus responden mahu bantuan bakul makanan, sokongan tunai sementara secara bulanan untuk mereka yang bekerja sendiri (30 peratus), makanan sihat percuma di sekolah (26 peratus) dan peluang pekerjaan dengan gaji yang baik (23 peratus),” menurut laporan tersebut.

Siri keempat kajian yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Selasa itu merupakan kajian yang dijalankan pada Mac lalu iaitu selepas hampir setahun Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 pertama dikuatkuasakan.

Siri kajian yang dilakukan dengan kerjasama Badan Penyelidikan Dasar Awam, DM Analytics Malaysia pada Mei 2020, September 2020, Disember 2020 dan Mac 2021 itu melibatkan 500 keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di 16 flat perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Tujuan kajian tersebut dilakukan adalah menggalakkan wacana mengenai penggubalan dasar dan juga kesan yang dihadapi keluarga berpendapatan rendah di Malaysia akibat daripada krisis Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Urusan DM Analytics Malaysia, Dr Muhammad Abdul Khaled berkata, tanggapan yang mengatakan keluarga berpendapatan rendah tidak memiliki kemampuan untuk menguruskan bantuan kewangan yang diperoleh adalah sesuatu yang tidak betul.

Muhammed Abdul
Muhammed Abdul

Menurutnya, ini kerana responden yang terlibat dalam kajian tersebut majoritinya didapati memiliki literasi kewangan yang baik.

“Apabila kita tanya apa yang dilakukan dengan duit mereka ada, kita tidak menjumpai sebarang penyalahgunaan. Kita dapati sebahagian besar duit yang digunakan adalah yang pertama untuk beli barang keperluan rumah.

“Kedua, mereka akan gunakan untuk berbelanja bagi keperluan pendidikan anak-anak mereka,” katanya ketika sesi perbincangan pada majlis pelancaran kajian tersebut yang diadakan secara maya.

Pada masa sama, kajian tersebut mendapati bahawa lebih kurang enam daripada 10 responden tidak dapat membeli makanan yang cukup untuk keluarga mereka, sementara satu daripada dua tidak dapat sama ada membayar bil utiliti, hutang rumah, dan sewa rumah tepat tpada masanya.

“Satu daripada empat menyatakan mereka masih terpaksa mengurangkan pengambilan makanan sementara lebih kurang satu daripada mengatakan mereka sukar atau sangat sukar untuk menyediakan wang yang cukup kepada anak-anak untuk membeli makanan di sekolah,” jelas laporan tersebut.

Pada masa sama, kajian itu juga antara lain mendapati bahawa, ketua isi rumah bagi keluarga berpendapatan rendah masih bergelut untuk mendapatkan pekerjaan.

Katanya, meskipun kadar pengangguran dalam kalangan ketua keluarga berpendapatan rendah berkurangan sejak Disember lalu, namun kajian itu mendapati ia masih pada kadar 12 peratus iaitu 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding sebelum krisis Covid-19.

Enam daripada 10 keluarga berpendapatan rendah tidak dapat membeli makanan yang cukup untuk keluarga mereka, sementara satu daripada dua tidak dapat sama ada membayar bil utiliti, hutang rumah, dan sewa rumah pada masanya. - Foto UNICEF dan UNFPA
Enam daripada 10 keluarga berpendapatan rendah tidak dapat membeli makanan yang cukup untuk keluarga mereka, sementara satu daripada dua tidak dapat sama ada membayar bil utiliti, hutang rumah, dan sewa rumah pada masanya. - Foto UNICEF dan UNFPA

“Sementara itu, kadar pengangguran dalam kalangan ketua keluarga wanita kekal 16 peratus, atau lebih kurang tiga kali ganda berbanding purata nasional,” ujarnya.

Pada masa sama, laporan tersebut turut menyarankan supaya skim bantuan dan perlindungan pekerjaan yang disediakan kepada keluarga berpendapatan rendah dapat diperkukuhkan lagi dengan meliputi ketua isi rumah wanita dan mereka yang bekerja sendiri.

Menurutnya, ini kerana keluarga berpendapatan rendah didapati lebih banyak terlibat dalam sektor pekerjaan tidak formal iaitu sebanyak 34 berbanding purata nasional yang berada pada paras 23 peratus.

“45 peratus ketua keluarga yang bekerja tidak berdaftar sama ada dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Angka ini lebih tinggi dalam kalangan mereka yang bekerja sendiri, dengan 9 daripada 10 langsung tidak mempunyai perlindungan pekerjaan.

“Majoriti yang bekerja sendiri juga tiada perlindungan sosial, dengan 90 peratus daripadanya tidak mencarum KWSP atau Perkeso. Bagi yang bekerja di sektor swasta, 1 daripada 4 tidak mencarum KWSP atau Perkeso,” menurut laporan itu.

tamat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!